Wednesday, October 7, 2009

Khasiat Susu Ibu

Kelahiran bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.

Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Allah telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan mereka.

Susu ibu menyelamatkan nyawa

Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.

Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.

Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.

Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.

Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Mengapa tidak menyusu?

Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.

Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

Khasiat dan kebaikan susu ibu

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Susu ibu menguntungkan wanita

Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.

Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.

Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.

Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.

Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.

Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.


12 comments:

  1. salam kak...siahat hari nih....hohohoh berpinau mata membaca kat atas tu.....saya tak perna miss bagi susu anak....tapi kena campoq gak....susu sikit tak cukup..

    ReplyDelete
  2. Salam alimaz,

    sedikit kureng sihat lerr..penat rayer kot...campoq dgn cuaca yg tak stabil...tak pa pinao skajap janji dpt info...he..hee..

    mmg ada perbezaan ler kat anak2 dr segi iq dan daya tahan melawan penyakit ....satu anugerah Illahi yg diberi pada wanita yg dpt menyusukan....

    ReplyDelete
  3. Salam Wardah,

    Satu entri yg sangat baik buat ibu2 yang enggan menyusukan anak dengan susu ibu kurniaan Allah yg mempunyai 1001 kelebihan dari susu lembu tapi itulah kak zai sendiri tak mampu menyusukan anak2 kak zai semua dengan sepenuhnya kerana bekerja apa nak buat..sedih baca entri ni mcm ada sesuatu yg gagal disempurnakan sebagai seorang ibu.

    ReplyDelete
  4. Salam K Zai, terima kasih krn sudi singgah.
    Memang tdk dapat dinafikan kelebihan dan kebaikan menyusukan anak dgn susu ibu secara eksklusif.

    Saya pernah membaca satu artikel mengenai seorang ibu yg bekerjaya dan dapat menyusukan anaknya dengan susunya sendiri sepenunya di majalah PA & Ma. Ibu ini sungguh rajin dan gigih sehingga dapat menyediakan berpuluh2 botol susu yang telah diperah sblm dia pergi bekerja. Dia juga sanggup membeli peti sejuk khas untuk memuatkan berpuluh-puluh botol2 susunya yang telah diperah itu ke dalam peti sejuk tersebut. Kagum saya dengannya! Saya sendiri belum tentu boleh lakukan sebegitu rupa.
    Sememangnya usaha ini perlukan kerajinan dan kesabaran yang tinggi serta memerlukan kos yang agak tinggi kerana botol2 susu yg digunakan juga adalah botol yang telah disteril trlebih dahulu. Kmdn bukan mudah juga untuk memerah susu badan bg mendapatkan satu botol penuh. Saya pernah cuba. Tapi sesetengah orang, air susunya keluar banyak dengan mudah, tetapi saya tidak.
    Namun, ibu tersebut inginkan yang terbaik untuk anaknya yang dikasihi.

    Namun, di sini juga peranan orang kedua (baby sitter) amat penting krn merekalah yang perlu mengambil susu yang dibekalkan oleh si ibu untuk menyusukan anak tersebut menggunakan susu ibu yang telah dibekalkan.

    K zai masa saya bekerja dulu, waktu tengah hari sy cuba sedaya upaya menyusukan badan untuk anak saya. Sebab itu saya mencari' baby sitter' yg berdekatan dgn tempat kerja. Itulah, mmg rasa konflik kalau difukirkan antara keperluan anak dan tanggungjawab bekerja pada masa itu.

    K Zai, disebabkan perkara2 sedemikian jugalah saya berkorban untuk berhenti bekerja dan menjaga anak sendiri.

    Tapi apa pun, saya percaya, K Zai telah melakukan yang terbaik untuk anak2 K Zai.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum,Salam Perkenalan Wardah
    tahniah Wardah atas usaha Wardah ini.
    Saya baru bercerai susu dengan anak yang berusia setahun 6 bulan.sedih rasanya.

    ReplyDelete
  6. Susu ibu adalah yang terbaik untuk anak-anak kita. alhamdulillah anak-anak kak tirana semua dapat merasa susu ibu..

    ReplyDelete
  7. salam,

    ummu masyitah, terima kasih krn sudi singgah. Perasaan ibu mana yg tak sedih bila nak ceraikan anak dgn susu badan. Jiwa saya sayu. Pengalaman itu saya alami masa anak kedua. Seblm dia tidur, saya susukan dia kenyang2. Bangun2 dari tidur saya katakan yang susunya ada ubat. Dia terpinga2 dan menunjukkan muka sedih. Tapi anak saya akur. Itulah air penghilang dahaga dan penawarnya, tiba2 dia tidak boleh mendapat susu walau setitik darinya....perasaan saya hiba bercampur dgn tekad ketika itu. Akhirnya saya berjaya juga dia bercerai susu...tapi dgn syarat seminggu pertama kita sbg ibu kena gunakan psikologi yg tinggi dan pandai mncari umpan spya dia lupakan 'penawar'nya.

    ReplyDelete
  8. wah banyaknya info.......... anak2 saya bercerai susu masa susu saya masih byk lagi.. so terpaksala ambik pil supaya susu berhenti . nak buat mcamana.. dia tak nak menyusu saya bila saya mula start bekerja.... nak perah byk2 cuma dapat 2-4 auns.

    ReplyDelete
  9. alahai sayangnya shila..ye la nk buat mcm mn yer...kebanyakan bayi kalau dah menyusu botol , mereka tak nak menyusu ibunya dah...

    ReplyDelete
  10. Satu informasi berguna bagi saya krn my wife tgh hamil skrng.:)hehehe So, ini sebagai pengetahuan yg perlu.tahniah dan terima ksh.

    ReplyDelete
  11. salam,
    Fairus tahniah dr saya krn sedikit masa lagi fairus akan menimang cahaya mata.

    Mudah2an N3 ini sedikit sebyk akn mmberi manfaat kepada kalian. Semoga fairus akan menjadi suami/bapa yang 'supportive'.

    ReplyDelete