Thursday, July 30, 2009

Berjalan Di Pantai...

Tempat paling sesuai untuk membuat aktiviti/senaman berjalan ialah di tepi pantai. Semakin halus struktur pasir, semakin besar beban latihannya.

Berjalan di atas pasir pantai membuatkan otot-otot kaki akan bekerja lebih kuat. Ketika berjalan, pasir akan menyerap getaran lebih banyak.

Bagi permulaan, pakailah kasut ketika memijak pasir yang keras/padat. Elakkkan berjalan di atas pasir yang panas.

Bagi mengencangkan peha pula, berjalanlah di dalam air paras betis ataupun pinggang.

Cuba-cubalah praktikkan.

Thursday, July 23, 2009

Jom makan-makan...









Ada kalanya seronok bila masak pelbagai variasi. Bila masak lebih, boleh bagi jiran sebelah sekali. Macam seronok je bila jiran pun sama-sama dapat merasa masakan yang kita masak.

Menunya tak lah hebat sangat. Tapi bila dah lama tak masak menu ni...teringin nak makan semula.

Sekarang ni kan musim durian. Bila dah jemu makan roti kosong/biskut kering cicah dengan kuah durian, cuba pulak buat tempoyak masak

Aku dan Zool memang suka makan tempoyak masak. Potong timun...kemudian makan timun dengan tempoyak masak ni. Mmmmm...sedapnya...Resepi ni minta dari Ngah (Mak Ngah Zool).

Bhan-bahannya:
Tempoyak
Udang basah (saiz kecil)
Santan
Daun kunyit
Cili api
Garam
(letakkan asam gelugur kalau tempoyak tak cukup masam)...ikut sesedap rasalah.

***Campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan kacau. Bila dah sebati dan mendidih tutup api. Senang je kan???

Tempoyak masak ni la yang kami nak makan sangat, menu yang lain tu kira untuk mevariasikan lagi hidangan.

Menu lain; Sambal Ikan Tenggiri + Kacang Buncis, Goreng Kangkung Belacan + Taucu. Masak Kicap Kerisik Daging dan buah manggis sebagai 'dessert'.


Wednesday, July 22, 2009

Petua Khamis...Halau Bubuk

Menyimpan beras yang terlampau lama akan menyebabkan kehadiran bubuk. Cara untuk mengelakkan kehadiran bubuk, ambil beberapa tangkai cili kering dan serai lalu dimasukkan ke dalam bekas beras.

Satu lagi petua yang boleh diamalkan ialah dengan meletakkan daun limau nipis/purut dan masukkan ke dalam bekas beras tersebut. Selain tidak berkutu, beras juga akan berbau wangi.

Petua tersebut telah saya lakukan. Alhamdulillah, beras saya tidak dikunjungi oleh bubuk lagi.

Tuesday, July 21, 2009

8 Kuasa Senyuman...

  • Senyuman mengubah perasaan.
  • Senyuman menghilangkan tekanan.
  • Senyuman meningkatkan imunisasi
  • Senyuman menurunkan tekanan darah.
  • Senyuman rahsia kepada awet muda.
  • Senyuman menjadikan anda lebih menarik.
  • Senyuman menjadikan anda lebih sukses.
  • Senyuman menyebabkan orang berfikir secara positif tentang diri anda.

Oleh itu, senyum-senyumlah selalu. Jangan lokek dengan senyuman kerana senyuman memberikan penawar kepada hidup kita.

Tak percaya praktikkan, nescaya hidup kita akan lebih ceria dan bahagia.

(sumber: Majalah Rapi)

Tuesday, July 7, 2009

Amniy Demam...



Alahai, ngantuknya aku hari ni! Tak cukup tidur sebab Amniy demam. Amniy terjaga banyak kali sebab dia nak minum susu. Mesti dia rasa dahaga je sebab badannya panas.

Pukul 4 pagi tadi, dia terus terjaga dan tak boleh tidur. Badannya semakin panas.Walhal sebelum tidur aku dah bagi minum ubat demam. Bila dah terjaga tu, dia terus bercakap-cakap (cakap dia la, cakap bayi berumur 15 bulan) sambil menepuk-nepuk mukaku.

Aku memang tak boleh tidur! Aku terus ke dapur dan memberi ubat demam sekali lagi pada Amniy. Dah la susah makan ubat sekarang ni! Dulu senang jer. Minum guna sudu terus je telan. Ni siap guna picagari lagi. Habis disembur-sembur ubat tu keluar dari mulut. Ya Allah! 'Challenging' betul pagi-pagi buta ni. Mujurlah suamiku terjaga membantu untuk memegang Amniy.

Lepas tu aku masukkan dia dalam buai. Letak dahinya dengan 'cool fever'. Aku duduk mengenjut sampai pukul 5 pagi. Amniy tak juga lena-lena. Mungkin badannya terasa bisa-bisa. Aku terus mengenjut sambil baring pula. Aku tak sedar bila dia terlena dan aku pun turut lena.

Sedar-sedar jam telah menunjukkan pukul 7 pagi. Ya Allah! Subuh gajah la aku pagi ni! Selepas mandi dan solat terus menyiapkan sarapan pagi untuk suami dan anak-anak nak pergi sekolah.

Memang rasa ngantuk yang amat sangat! Tapi apa nak buat banyak kerja rumah lagi nak buat. Kepala ni dah pening sangat. Badan pun dah sakit-sakit sebab tidur tak betul. Rasa macam nak demam pula.

Tapi itu lah hakikatnya pengorbanan seorang ibu. Menjaga anak kecil yang demam yang banyak ragamnya. Disebabkan sayangkan anak,sanggup berjaga malam.

Semua ibu yang mempunyai anak kecil akan mengalami pengalaman yang sama. Mungkin pengorbanannya lebih dari itu.

Kepada para ibu, memang kita kena cekal, sabar dan kuat semangat. Selagi ada anak kecil, selagi itulah kita akan berjaga malam.

Sunday, July 5, 2009

Eisya Dah 8 Tahun...

Kek hari jadi Eisya 'black forest'



Nak pergi sekolah la tu...


Eisya 5 bulan


Ibu dengan Eisya di rumah Sentul


Pertama kali beraya bertiga (2001)


Eisya (1 tahun 1/2) dengan baju kurung rayanya


3 Julai 2009 (Jumaat), Eisya genap 8 tahun. Bermakna hampir 9 tahun perkahwinan kami. Alhamdulillah, semoga Eisya terus menjadi anak yang baik dan solehah. Mudah-mudahan juga perkahwinan kami juga dilimpahi dengan rahmat dari-Nya. Amin.

Bila imbas balik macam mana aku melahirkan Eisya 8 tahun yang lalu...rasa-rasa macam tak nak melahirkan lagi. Tapi apa pun sekarang ni dah ada pun 3 orang puteri. Putera je yang belum ada lagi. Allah masih belum mengurniakan kami rezeki seorang putera. Ha...kata orang cuba lagi jangan putus asa! Insyaallah, Allah itu Maha Kaya. Apa pun kami tetap bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan.

Sehari sebelum melahirkan Eisya aku demam. Aku ingat ianya demam biasa, jadi tak de la kisah sangat. Aku ingat lagi...hari tu hari Isnin. Disebabkan dari awal pagi badan dah rasa tak sedap dan perut pun rasa berat semacam, aku pun tak pergi kerja. Sambil menunggu Zool (suamiku) membaiki lampu kereta yang rosak di bengkel Rawang...aku pun baring di rumah.

Ishhh...terasa lama pulak Zool pergi tak balik2. Rasa boring pun ada. Masa tu lah aku sempat menelefon kawan2...bertanya macam mana pengalaman bersalin. Maklumlah, aku tak de pengalaman bersalin. Ish...ada pulak salah seorang kawanku yang bercerita pasal pengalaman ngeri, anak meninggal dalam perut sebab termakan najis, lemas dalam perut dan sebagainya. Lagi la aku rasa 'gabra'.

Mahu tak mahu...aku gagahkan juga untuk bangun untuk makan dan minum macam biasa. Tapi menjelang maghrib tak sedap badan tak juga hilang2.

Ketika solat maghrib masuk rakaat kedua, tiba-tiba aku rasa kain telekungku dibasahi dengan cecair suam. Eh! Apa yang panas2 ni??? (terdetik dalam hati). Air semakin banyak. Aku masih meneruskan solat untuk rakaat terakhir. Selesai solat, aku bertanya dengan Zool, " Bang air apa yang panas2 keluar kat kain telekung ni??? Zool terdiam. Kami masing2 tak tahu jawapannya. Masa tu aku tak rasa sakit apa2 pun walaupun sikit.

Dengan bingkas aku menelefon Kak Ana (arwah kakak iparku di Keramat). Aku menceritakan keadaan yang telah berlaku. Ha...tu dah nak bersalin la tu! Zzzuppp!! Aku pun apa lagi. Tiba-tiba rasa panik. Ye la memang tak ada pengalaman lagi! Sebab sebelum ni bila tanya kakakku yang di Shah Alam kata, kalau nak bersalin akan keluar tanda darah. Rupanya itu tanda yang dia alami. Ye la, lain orang lain tandanya .

Apa lagi, sementara menunggu abang sulungku (juga dah arwah) dan arwah Kak Ana, aku pun berkemas beg dan menyuruh Zool makan nasi dulu. Kami memang belum sempat menjamah sebutir nasi pun. Kebetulan pulak hari tu aku merebus 2kg kerang...teringin sangat nak makan masa tu. Sebelum pergi ke hospital sempat lagi aku mengupas 3 biji kerang sebab tak nak kempunan. Selebihnya disedekahkan kat jiran sebelah.

Bila abang dan kakak iparku datang, kami pun bergegas ke hospital swasta di Gombak. Kira Sentul dengan Gombak tak lah jauh. Mujurlah, lampu kereta telah pun dibaiki. Kalau tak, dah tentu bawa kereta tak berlampu!

Setibanya di hospital tersebut, doktor membuat pemeriksaan ke atasku dan mengatakan bayi kurang aktif, bukaan masih 2cm tapi air mentuban dah keluar banyak. Doktor tersebut menegaskan supaya aku dibawa ke HKL sebab di situ tiada kelengkapan untuk menjalani pembedahan sekiranya 'caeserian' dijalankan. Aku pun dimasukkan ke dalam ambulan untuk dibawa ke HKL. Itulah pengalaman pertama aku naik ambulan. Fikiran risau tak terkira mengenangkan keadaan bayi di dalam perut ni.

Disebabkan kes aku ni, aku terpaksa di'induce'.Ya Allah sakitnya, Tuhan saja yang tahu. Selama hampir 9 jam aku menahan sakit. Tergolek-golek macam lembu nak kena sembelih. mengerang dan menahan kesakitan sampaikan terlena. Sedar-sedar Zool dah ada di sisi mengusap-ngusap kepalaku. Sakitnya datang dan pergi. Perut ni pulak macam kena gerudi. Usapan tangan Zool di kepalaku untuk melegakan kesakitan tidak lagi terasa. Aku hanya mampu berselawat banyak2 dan menarik nafas panjang2 untuk mengurangkan kesakitan. Namun lega apabila ada suami tersayang ada di sisi.

Rupa2nya dalam waktu aku mengerang kesakitan, doktor sedang menyiapkan peralatan di bilik bedah. Sekiranya selepas 9 jam tidak melahirkan aku akan dibedah.

Alhamdulillah berkat doa suami, ibu dan abang-abangku ketika solat subuh aku selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.0kg tepat jam 6.45 pagi. Kami pun bersepakat menamakannya Aliyatul Batrisya yang bermakna 'yang tinggi dan yang cerdik'. Hilang rasa kesakitan yang dialami selama hampir 9 jam. Alhamdulillah, ketika aku melahirkan Eisya, suamiku pun ada di sisiku. Aku memang 'respect' dengan suamiku sebab berani masuk ke 'labour room'.

Terima kasih kepada bidan yang telah menyambut kelahiran Eisya dan melayan aku dengan baik. Semoga Allah sahaja yang membalasnya.