Thursday, December 3, 2009

Nasi Ayam Ala Wardah



Hmm...dah lamanya tak 'berblog'. Sibuk sangat dengan rutin harian menyebabkan aku meletakkan 'blogku' di tempat yang terakhir. Usahkan nak menulis, nak 'on' pc pun tak sempat.

Ye la masa tu kan Zool masuk wad di hospital Ipoh (5 hari) dan selepas itu dia dimasukkan ke IJN (13 hari). Aku dan anak-anak pula tinggal di Keramat rumah anak saudara disebabkan aku ingin menjaga Zool di IJN. Bila dah balik rumah, macam-macam urusan yang perlu diselesaikan secara solo. Semuanya berlalu dengan begitu pantas. Namun, Allah jua yang Maha Mengetahui hati dan perasaan ini. Bersyukur sangat kerana semua urusan dipermudahkan dan aku memiliki ahli keluarga yang sangat mengambil berat dan begitu 'supportive' baik dari sebelah keluargaku mahupun sebelah Zool. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik kalian semua.

Hari ini tiba-tiba mood untuk memasak datang kembali. 'Check' stok di dalam peti ais pun tak banyak sayur-sayuran yang ada. Lauk mentah ada ayam dan daging je. Aku pun membuat keputusan untuk membuat Nasi Ayam...lebih mudah dan cepat. Memandangkan hari ini, aku sedang membuat operasi mengemas rumah...gara-gara ditinggalkan hampir 3 minggu.

Akhirnya, siaplah Nasi Ayam Ala Wardah. Resepi asal nasi ayam tersebut minta dari Abang Teh (entah berapa tahun yang lalu)...tapi ayam dan sambalnya diambil dari internet dan 'dimodify' sendiri....hmm...asalkan famili aku suka makan.

Resepi Nasi Ayam Ala Wardah:

Bahan2 Nasi Ayam:
Stok ayam
Bawang merah, serai (1 btg), dan halia ditumis dgn mentega (buttercup)

Ayam Goreng:

Ayam yang telah dipotong dan dibersihkan diperap dengan:
tepung gandum, halia dan bwg putih (ditumbuk), serbuk kunyit, garam, sedikit cili boh,sedikit susu lemak manis (utk melembutkan lagi ayam)

###namun jika anda tidak menggemari susu lemak manis dicampurkan, ianya tidak perlu letak pun boleh juga.

***Ayam Goreng boleh juga digantikan dengan Ayam Panggang jika anda tidak suka berlaukkan Ayam Goreng. Semuanya terpulang kepada individu tersebut.

Sambal:
Cili Sos
Tomato
Kicap Manis
Sos Tiram
(semua dicampurkan utk mendapatkan rasa yg sebati)

Wednesday, October 14, 2009

Kebaikan/Kelebihan Minum Air Suam


Fakta ini sangat baik kepada sesiapa yang mementingkan kesihatan . Ianya bukanlah semata-mata berkenaan air suam, tetapi juga berkenaan serangan jantung. Masyarakat Cina dan Jepun minum teh panas ketika bersarapan, bukannya minum air sejuk. Mungkin inilah masanya, kita perlu mengubah tabiat minum semasa makan.

Kepada sesiapa yang gemar minum air sejuk, fakta ini sangat bermakna buat anda. Memanglah sesuatu yang nikmat untuk minum segelas air sejuk selepas makan. Walaubagaimanapun, air sejuk akan melikatkan minyak yang kita makan bersama hidangan. Sudah tentu ia melambatkan lagi proses pencernaan. Sekali gumpalan minyak ini bertindakbalas dengan asid di dalam perut, ia akan memecah dan diserap oleh enzim intestine lebih cepat berbanding makanan pejal. Ia akan selari dengan enzim intestine. Dalam masa terdekat, ia berpotensi bertukar menjadi lemak dan mendorong kepada kanser. Jadi, adalah sangat penting untuk minum sup panas atau air suam selepas menikmati sesuatu makanan.

Petanda Lazim Serangan Jantung
Anda seharusnya mengambil tahu yang petanda serangan jantung bukan sahaja pedih pada sebelah kiri dada. Awasi jika terasa sakit yang menyesakkan pada dada kiri. Mungkin anda belum pernah merasa sakit dada semasa terkena serangan jantung. Muntah-muntah dan berpeluh berlebihan juga antara tanda-tanda lazim. 60% pesakit yang terkena serangan jantung adalah ketika sedang tidur dan tidak boleh bangun dari tidur. Sakit pada dada boleh menyebabkan tidak sedarkan diri. Berhati-hati dan berjaga-jagalah sentiasa. Lebih banyak yang anda ketahui berkenaan serangan jantung, maka lebih peluang untuk anda terselamat.

Kata pakar kardiologi (jantung), jika seseorang telah membaca fakta ini, sebarkanlah ia kepada 10 orang lain yang dikenali, anda mungkin tidak mampu menyembuhkan pesakit, tetapi anda sebenarnya berjaya menyelamatkan seseorang dari menjadi pesakit.

Wednesday, October 7, 2009

Khasiat Susu Ibu

Kelahiran bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.

Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Allah telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan mereka.

Susu ibu menyelamatkan nyawa

Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.

Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.

Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.

Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.

Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Mengapa tidak menyusu?

Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.

Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

Khasiat dan kebaikan susu ibu

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Susu ibu menguntungkan wanita

Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.

Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.

Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.

Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.

Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.

Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.


Sunday, October 4, 2009

Kuih Siput

Kuih siput yang sedap


Kuih siput ni adalah antara kuih tradisional. Ianya samalah/seangkatan dengan kuih loyang, peyek, kuih tiram, kuih sepit dan lain-lain lagi. Dengan kata lain, ianya kategori kuih-kuih lama yang memang popular pada zaman aku kecik-kecik dulu. Aku kecik....zaman 70-an le kan.

Kuih siput masih juga popular sekarang ini walaupun ianya bersaing dengan biskut tiramisu, almond london, night sprinkle dan pelbagai jenis cookies yang lain. Ini kerana keenakan dan rasanya yang tersendiri menyebabkan kuih siput masih tidak dapat dilupakan.

Raya tahun 2009, kuih siput merupakan salah satu variasi kuih raya kami. Memang bukan buat sendiri tapi jiran kami yang buatkan. Cuma bagi modal tepung 1kg dan satu buku buttercup je...daun kari ambil kat depan rumah (tanam sendiri). Aku nak bagi rempah ratusnya dan minyak masak untuk menggoreng, mati-mati Kak Ziah (jiran kami) tak nak.

Katanya, 'tak pe Kak Ziah nak tolong je, bukan nak ambik upah apa pun. Bagi je tepung dengan butter. Nanti Kak Ziah gorengkan. Subhanallah! Mulia sungguh hatinya nak menolong aku buatkan kuih siput ni. Dia tahu yang anak sulungku, Eisya menggemari kuih tersebut.

Memang pada asalnya, kami ingin membuat dan menggoreng sama-sama di rumahnya (sebelah rumah je). Tapi disebabkan Amniy tak sihat dan meragam, aku tak berupaya untuk menggoreng bersama-sama dengannya. Tau-tau kuih siput dah ada 2 balang di atas meja.

Apa pun terima kasih banyak-banyak pada Kak Ziah kerana bersungguh-sungguh untuk menggorengkan kuih siput dan hanya Allah saja yang membalas kemuliaan hati dan segala kebaikan beliau.

Friday, October 2, 2009

Kerabu Paku Pakis + Tauge Berkerang


Semalam aku mencuba resepi yang Kak Kamsiah beri di blognya. Hmmm...dah lama tak buat kerabu ni. Ada 2 tahun kot. Masa tu buat pun selepas bertanya resepi dengan Kak Zan sepupu Zool. Lepas-lepas tu, tinggal makan je...sama ada makan di kedai atau orang lain yang buat.

Hmm...Kak Kamsiah terima kasih sangat letak resepi kat blog akak. Cuma di'modify ' sebab Zool nak letak pucuk paku. Kak Kamsiah punya resepi menggunakan tauge sebagai sayur utama. Tapi yang aku buat ni letak pucuk paku sebagai sayur utama dan dicampurkan dengan sedikit tauge. Lepas tu ditambahkan dengan kerang. Sedapppnya.....nanti nak buat lagi lah!

Resepinya:
Pucuk paku & tauge (dicelur)

Kerang (direbus)
Cili merah + cili padi + belacan +udang kering (ditumbuk)
Limau kasturi (perah, ambil airnya)
Kerisik
Bawang besar (dihiris2)

Garam & gula secukup rasa


Caranya:

Campurkan bahan2 yang ditumbuk bersama kerisik. Gaulkan rata.

Masukkan pula pucuk paku, tauge, kerang dan hirisan bawang.
Tambahkan garam dan gula secukup rasa.

Akhir sekali, perahkan asam limau. Gaulkan sehingga rata.
Boleh la dihidangkan dan dimakan bersama nasi dan lauk-pauk yang lain.

Tak caya, cubalah!.

Antara sajian yang dihidangkan di Aidifitri (2009)

Cornflakes golden syrup +madu (mmg simple dan digemari oleh Eisya, Sarah & Amniy)


Cookies Yummy (sendiri buat le)


Variasi kuih raya 2009


Antara sajian yang dihidangkan..."Cheesy Bologneese Sphaghetti with Meatball" dan


Kue Tiaw Sup Tulang Lembu


Hubungan silaturrahim semakin akrab apabila adanya budaya ziarah-menziarahi dan saling kunjung-mengunjungi. Kemeriahannya terasa, lebih-lebih lagi kunjungan di Aidilfitri oleh adik-beradik, sanak-saudara, sahabat-handai, rakan taulan, jiran tetangga dan rakan lama yang telah lama tidak bersua.

Terfikir, apa yang ingin dihidangkan untuk mereka (tetamu) yang mengunjungi rumah kami. Mungkin ianya simple dan ala kadar tapi lebih bermakna bila sajian tersebut kami masak sendiri. Hilang rasa penat bila tetamu yang datang bersungguh-sungguh menikmati sajian yang dihidangkan.

Thursday, October 1, 2009

Suasana Hari Raya Aidilfitri

Cucu-cucu bergambar bersama dengan Opah Chu dan Opah Ngah


Giliran semua menantu beraya di Tapah Road (K Andak, K Teh dan saya)


Satu keluarga ungu di hari raya


Bersama Chu (makcik yang bongsu)


Couple of Purple 2009


Tahun ini (2009), giliran kami beraya di Tapah Road. Tahun lepas di Bagan Datoh. Setiap tahun memang kami beraya secara berselang-seli supaya 'fair & square'.

Tak kiralah, walau di kampung mana pun kami beraya, masing-masing mempunyai suasana dan kemeriahannya yang tersendiri.

Friday, September 4, 2009

Bergaduh...

Jeleh: Malam tadi aku bergaduh besar dengan isteri aku.

Mumet: La ye ke, macam mana boleh jadi macam tu?

Jeleh: Biasalah hal suami isteri. Lepas bergaduh aku tak tengok langsung muka dia.

Mumet: Habis tu kau terus keluar la malam tadi?

Jeleh: Tak pun, aku matikan lampu je. Baru tak nampak muka dia....

hmm...ni lawak jer....

Thursday, September 3, 2009

ASAM PEDAS MELAKA


Bahan Kisar:
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
30 tangkai cili kering
2 cm inci halia
1 sudu besar jintan manis
1 sudu teh lada hitam
3 cm kunyit hidup (atau 2 sudu teh kunyit serbuk)
3 ulas bawang putih

Bahan Tumis :
1 biji bawang besar (dihiris)
½ sudu teh biji sawi
½ sudu teh halba
4 tangkai daun kari (ambil daunnya saja)

Bahan2 lain:
1 sudu besar pes asam jawa (campurkan dengan 1 cawan air)
750 ml (3 cawan) air
2 biji tomato (potong 2 atau 4)
2 batang terung kecil (belah 4 memanjang)
8-10 biji bendi
2 tangkai bunga kantan - dipecahkan
2 sudu teh garam (atau secukup rasa)
½ sudu teh serbuk perasa atau 1 sudu teh gula
1 kg ikan duri/tenggiri (atau apa-apa ikan pun boleh)
2/3 cawan (abt 150 -180 ml) minyak masak

Cara :
Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan tumis sehingga bawangnya layu dan naik baunya. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi hingga garing dan wangi. Masukkan air asam jawa dan kacau sebentar hingga naik minyak.

Masukkan ikan, bunga kantan dan air. Kacau rata dan masukkan pula serbuk perasa/gula, terung dan bendi. Tutup dan biarkan renih pada api kecil hingga kuahnya pekat sedikit. Kemudian, masukkan tomato. Biarkan sebentar sebelum dimatikan api.

Setelah siap, bolehlah dihidang.

p/s Rasanya boleh tahan. Berbeza dengan asam pedas yang telah aku masak sebelum2 ini. Ada rasa ala-ala kari sebab menggunakan daun kari. Kepada sesiapa yang belum pernah mencuba, bolehlah mencuba.

Terima kasih kepada rozzan blogspot kerana berkongsi resepi.

Wednesday, September 2, 2009

Pisang Goreng Berempah


Petang tadi aku sempat membuat Pisang Goreng Berempah untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Dah lama tak makan...best jugak pekena pisang goreng ni.

Minggu lepas balik Bagan Datoh sempat aku mengambil sesikat pisang abu muda untuk dijadikan pisang goreng tersebut. Wah, rupa-rupanya anak-anakku suka! Licin sepiring!

Resepinya senang aje:
Pisang abu muda yang dipotong nipis-nipis (baru la rangup dan sedap)
Jintan manis (agak2/ikut suka)
Ketumbar (agak2/ikut suka)
Bawang merah (2 ulas) dan bawang putih (1 ulas)
Udang kering
##Kesemua bahan2 di atas ditumbuk lumat##

Tepung gandum (sedikit)
Sedikit kunyit dan garam
##Bancuhkan tepung bersama serbuk kunyit dan garam. Kemudian gaulkan bersama bahan2 yang ditumbuk lumat di atas. Selepas itu masukkan hirisan pisang muda ke dalam tepung yang telah digaul tadi. Setelah kesemua hirisan bersalut dengan tepung , boleh digoreng ke dalam minyak yang telah dipanaskan.

Tuesday, September 1, 2009

Khasiat Buah Kurma/Tamar


Kurma atau tamar adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex Dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis.

Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka. Malah dikalangan masyarakat kita juga, kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah SAW memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah SAW telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".

Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah SWT sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah SAW.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatina Maryam ketika beliau mengandungkan Nabi Isa ‘AS.

h_dd26.jpg (19498 bytes)

Tafsirnya : "Dan goyangkanlah pohon kurma itu, nescaya dia akan menjatuhkan kepada engkau buah kurma yang baru masak.

(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah SAW bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan juga sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

"Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.

(Hadis riwayat Ahmad)

Terdapat juga beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah SAW berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :

h_dd27.jpg (32536 bytes)

Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita dapat menjana kesihatan yang baik dan terhindar daripada pelbagai kemungkinan serta dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah SWT.

Thursday, August 27, 2009

Nasi Hujan Panas...



Dah lama tak buat menu ni...hari ni tiba-tiba rasa nak masak Nasi Hujan Panas berlaukkan Ayam Masak Merah beserta Jelatah yang simple je (kobis potong halus +lobak disagat, perah dengan limau kasturi + cuka sedikit+ garam sedikit + gula sedikit...ala-ala Marry Brown). Tapi Marry Brown ada letak timun. Ni timun tak ada stok. Buat kari simple juga sebagai kuahnya.

Cukuplah sebagai menu utama berbuka puasa hari ini.

Wednesday, August 26, 2009

Rasulullah SAW Contoh Terbaik

Satu aspek sangat baik yang perlu dicontohi daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga. Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.

Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: “Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)

Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata. Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.

Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan.
Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat sayang kepada Fatimah. Baginda menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”

Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.

Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya. Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.

Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda.

Ali sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga. Bukan Sayidina Ali tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.

Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah dan suaminya Saidina Ali. Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri Baginda, Baginda terus mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama. Baginda selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda sedang sujud dalam solat, cucu Baginda duduk di atas belakang Baginda sehinggakan Baginda sujud agak lama. Baginda juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.

Itulah antara kisah Rasulullah yang perlu diselusuri dan akhlak Baginda yang patut dijadikan contoh yang terbaik bagi kita umatnya. Insyaallah.


Monday, August 24, 2009

Jemput-jemput Pun Sedap...

Hari ini adalah hari ke-3 umat Islam menunaikan ibadah puasa. Bermakna sudah 3 hari Sarah (anakku yang kedua, 6 tahun) berpuasa. Syukur, dia telah berjaya berpuasa penuh 3 hari tahun ini berbanding tahun lepas hanya berpuasa separuh hari.

Kakaknya, Eisya baru dapat sehari sebab hari keduanya dah demam. Jadi Eisya tak dapat berpuasa sebab kena makan ubat. Kesian Eisya. Tahun lepas Eisya berjaya berpuasa penuh sebulan.

Gara-gara semangat Sarah ingin berpuasa, aku cuba memenuhi permintaannya. Aku bertanya dengannya, "Sarah nak makan apa hari ini?''. Hari pertama ,dia inginkan aku membuat jemput-jemput pisang untuknya. Bukan Sarah seorang, Eisya dan Amniy turut gemarkan jemput-jemput pisang.

Disebabkan ada lagi pisang yang masak, hari kedua pun Sarah masih meminta aku menggorengkan jemput-jemput pisang. Ini bermakna 2 hari berturut-turut kuih utama kami ialah jemput-jemput pisang di samping kuih-kuih yang dibeli di bazar Ramadhan.

Hari ini, kami membuat keputusan untuk tidak pergi ke bazar Ramadhan untuk membeli kuih-muih. Tambahan pula hari hujan. Semua menu dimasak sendiri. Sarah meminta aku membuat jemput-jemput/cucur ikan bilis. Seronok aku tengok dia berbuka. Puas rasanya bila anak-anak dan suami menikmati hidangan yang disediakan sendiri. Walaupun menunya simple nasi putih, kari buncis bersama telur dan ayam goreng bersalut tepung tapi yang pasti ianya memenuhi selera.

Ada kalanya tak perlu bersusah payah memasak hidangan yang 'complicated' dengan hanya berkuihkan sepinggan jemput-jemput/cucur, tetapi tetap berbuka dengan selera.

Jadinya sudah 3 hari kami berbuka bersama 'jemput-jemput'.

Alahai...gambar tidak disediakan pulak...lupa nak ambil.....hmmm.

Saturday, August 22, 2009

Adab-adab Berpuasa dan Kelebihan Ramadhan

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ;

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya,

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia,

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih,

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei]

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan.

Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim]

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt.

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy].

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’.

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim].

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah].

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei].

sumber:http://halaqah.net

Monday, August 17, 2009

Chiffon Idaman Sutera Yang Bukan Lagi Idaman (Rasa Tertipu)



Pada petang 27/7/2009 lalu, disebabkan aku ingin mencari baju raya berwarna oren dari jenis kain chiffon (tema raya tahun ni), aku pun mengajak suami dan anak-anak pergi ke butik Idaman Sutera di Megoplex, Ipoh. Sememangnya kalau nak cari baju jenis chiffon aku gemar ke butik ini kerana kebanyakan fabrik chiffonnya adalah gred A.

Setelah mencuba beberapa helai baju, aku pun berkenan dengan sepasang baju kurung chiffon berlinen penuh. Di samping itu aku turut membeli sepasang baju kurung oren untuk anakku, Sarah dan 2 helai kain pelikat.

Setelah sampai di rumah, aku hanya menggantungkan baju kurung orenku pada penyangkut almari pakaianku. Pada keesokan harinya baru aku melihat semula dan ingin mencuba baju kurung tersebut. Aku terkejut dan rasa 'frust' sebab terdapat keretasan pada bahagian jahitan baju tersebut.Disebabkan ianya kain chiffon keretasannya antara nampak atau tak nampak. Tambahan pula kain linennya warna yang seakan-akan sama. Takkan nak pakai baju yag dah retas??? Boleh perasan bila dalam cahaya yang betul-betul terang.

Aku pun terus menelefon butik tersebut memberitahu tentang kerosakan yang berlaku untuk menukar/menggantikan baju yang lain. Jurujual yang dikenali sebagai Linda mengatakan baju tersebut boleh dipulangkan dalam masa 3 hari sahaja. Jadi aku pun menulis tarikh 27/7/09 di atas tag harga yang aku belum buka lagi, supaya mereka akan percaya bahawa aku memulangkan baju tersebut masih dalam tempohnya.(Tempoh 3 hari).

Jadi pada 29/9/09,genap hari ketiga aku memulangkan baju tersebut. Aku mencuba beberapa baju chiffon oren yang lain termasuklah kain sutera. Namun hampa, tiada baju oren dan kurung sutera yang berkenan di hati dan memenuhi citarasaku. Kalau tak terlampau besar, muat tapi tak selesa. Ada 5/6 pasang baju telah ku cuba tapi tak memenuhi selera hati.

Lantas, aku berinteraksi dengan tuan punya butik yang dikenali dengan nama Kak Zan supaya memulangkan semula duitku kerana tidak ada baju oren yang berkenan di hati.Beliau tidak bersetuju untuk memulangkan duitku. Alasan beliau, mereka tidak boleh memulangkan duit, tetapi boleh menukarkan duit tersebut dengan membeli pakaian lain yang ada dijual di situ. Takkan aku nak beli pakaian yang aku tak rancang nak beli semata-mata nak habiskan wang sebanyak RM167.00 tu. Sudah tentu aku ingin membeli barang yang aku rancang untuk dibeli!

Aku pun meminta Kak Zan tuan punya butik tersebut untuk mengeluarkan resit sebagai bukti bahawa aku akan menukarkan baju kurung oren di satu hari kelak. Tujuannya supaya kakitangannya akan tahu mengenai perkara yang telah berlaku.

Ye la, ini bukan salah aku, salah tailor yang menjahit tu.Tetapi kenapa pulak aku yang menerima akibatnya.Nak jual baju tengok-tengok la dulu kualiti baju tu. Ok ke tak ok ke...Akhirnya, aku meminta Kak Zan menelefon 'supplier' baju kurung oren tu sama ada masih ada stok ataupun tidak. Malangnya, baju tersebut sudah tiada stok.

Pada 13/8/09, Linda jurual di butik Idaman Sutera tu menelefon aku, "Kak baju oren akak tu dah sampai." Aku menegaskan kepadanya, 'Itu baju yang sama ke atau baju yang lain?' Linda dengan penuh yakin mengatakan, "baju corak yang sama, saiz yang sama dan dia ganti yang lain." Aku masih ragu-ragu, 'Linda , check baju tu elok-elok, nanti penat akak datang sana, baju tu ada yang retas lagi,'". Aku menegaskan kepadanya.

Pada pagi Ahad 16/8/09, sebelum ke Idaman Sutera aku menelefon Linda lagi, "Linda baju tu betul-betul ok ke...tak ada apa-apa yang rosak ye?" "Ok kak" dia menjawab. Aku pun yakin dengan jawapannya.

Petang Ahad itu pun aku meminta suamiku menemaniku untuk ke sana mengambil baju tersebut. Setibanya di sana, Linda dah balik.Aku berurusan dengan jurujual yang lain. Sebelum aku mengambil baju tersebut, aku masih bertanya kepada adik jurujual yang ketika aku datang pada hari pertama tu memang dia pun ada."Hari tu kata dah tak ada stok, ini ada stok pulak? Adik tu menjawab, "tak tau lah, dia ganti je." Aku masih berfikir dan terdetik dalam hati, "Kemungkinan tailor tu jahit baju yang lain kot."Aku mengambil baju tersebut dengan yakin sebab mereka mengatakan baju tersebut diganti dengan yang baru. Tetapi dalam perjalanan untuk turun ke Tingkat 1, hati ini masih sangsi sambil membelek-belek baju yang tersimpan dalam plastik tersebut.

Tup-tup bila dibelek-belek, aku nampak tag harga masih ada tulisan tanganku '27/7/09'(tarikh baju tersebut dibeli). Masih juga ada keretasan di jahitan baju tersebut. Dalam hati..."ini masih baju yang sama"..."Tapi kenapa mereka kata telah diganti dengan yang baru." Aku rasa diperbodohkan. Huh! Masa tu hatiku terus mendidih! Aku telah ditipu! Aku terus naik semula ke butik tersebut dan meminta jurujual tersebut memulangkan duitku sebanyak RM167.00. Aku menggigil menahan marah! Aku telah ditipu! Aku telah ditipu."Kenapa mesti mereka menipu aku???!!! Aku tak redha betul dibuat seperti ini. Hatiku sakit yang teramat. Terpaksa datang 2-3 kali disebabkan bukan salah sendiri. Lalu macam-macam yang aku telah perkatakan supaya mereka sedar bahawa mereka ini telah menjadi 'PENIPU' dan tak pandai menjaga hati pelanggan. Kalau belum ada stok katakan tiada stok, jangan la sampai menipu pelanggan. Jika ini yang berlaku, lebih baik pulangkan sahaja duitku pada hari aku memulangkan baju tersebut kan senang! Ini tidak! Aku terasa dianiya! Buang duit minyak kereta! Lebih utama, buang masa aku dan suamiku!

Kali ini aku telah bertekad tidak akan datang lagi ke butik Idaman Sutera yang sememangnya aku cop 'penipu dan tidak pandai jaga hati pelanggan'. Mereka tidak akan merasa sesen pun duitku selepas ini.

Jadi kepada sesiapa yang ingin membeli pakaian /barangan, ambillah iktibar dari ceritaku di atas. Terutamanya kepada kaum wanita yang rajin 'shopping' di sana. Khusus juga kepada pembeli baju kurung chiffon, jangan sampai terbeli baju kurung seperti dalam gambar di atas. (Saiz M)....Sila periksa dengan lebih terperinci untuk memenuhi citarasa dan kepuasan hati anda sendiri.

Kisah yang ditulis bukan tujuan untuk menghasut tetapi adalah kisah benar yang aku alami sendiri beberapa hari yang lalu.

Thursday, August 13, 2009

Satu Qiblat Yang Sama - Rabbani



Ya Sallim Sallimna Sallim Sallim Dinana

Ada yang hitam, ada yang putih..Zahirnya Dia menciptakan kita berbeza
Namun batinnya kita dikurnia akal fikiran yang lengkap sempurna

Walau berbeza kasta budaya, hanya amalan pada-Nya yang utama
Kita mewarisi Al-Quran suci sebagai panduan untuk hidup sejahtera

Seringkali iman akan diuji bak layar dihembus laut gelora
Dalam mengejar kehidupan di sana, jangan alpa meredah kabus dunia

Walau pandangan jauh berbeza, tak bermakna ada salah ada benar
Pada akhirnya kita semua sujud ke arah satu qiblat yang sama

Semulia insan adalah yang menghampiri-Nya
Moga ditempatkan dengan yang bertaqwa

Tak mungkin manusia yang punya nafsu bisa terlari walau secebis dosa
Apa yang mampu kejar pahala, biarlah yang Esa menghitungkannya

Buang yang keruh, ambil yang jernih tak guna merintih menyesal bersedih
Khalifah bumi semua bersaudara untuk menghambakan diri kepada-Nya

Kadangkala kesabaran dicabar tiang utuh teguh bisa kan runtuh
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama saudara

Walau pandangan jauh berbeza, tak bermakna ada salah ada benar
Pada akhirnya kita semua sujud ke arah satu qiblat yang sama

Semulia insan adalah yang menghampiri-Nya
Moga ditempatkan dengan yang bertaqwa


Pemergian Allahyarham Ustaz Asri (Vokalis Kumpulan Rabbani)
*** Sesungguhnya kami adalah bagi Allah dan kami sekalian akan kembali kepada-Nya***

Hari ini aku dikejutkan dengan pemergian Ustaz Asri. Sebak dan pilu hati ini bila Zool (suamiku) memberi tahu berita tersebut. Rasa macam tak percaya. Bila buka email, kawanku Suhaila Zainuddin yang bekerja di Astro juga turut mengkhabarkan berita yang sama.

Aku sebagai peminat lagu-lagu nasyidnya pun turut bersedih...apatah lagi orang-orang yang paling hampir dengannya seperti isteri, anak-anak,ahli keluarganya serta sahabat handainya. Banyak juga koleksi lagu-lagu nasyidnya yang tersimpan dalam telefon bimbitku.

Tak sangka dalam usianya yang dikira 'agak' muda beliau kembali ke Rahmatullah.Tapi semuanya ketentuan Illahi. Kita sebagai manusia biasa perlu redha dengan ketentuan-Nya. Semoga roh beliau ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Amin.
Al-Fatihah.

Wednesday, August 5, 2009

Pahala Kaum Wanita

Asma' binti Yazid hanya seorang wanita biasa di kalangan kaum Ansar di Madinah. Namun wanita ini dikenali kerana keberanian dan usahanya membela wanita.

Suatu hari Asma' datang bertemu Rasulullah yang sedang berbincang dengan para sahabat. Dengan penuh hormat dan sopan, Asma' memperkenalkan diri, "Saya Asma' binti Yazid, utusan kaum wanita. Saya ingin menyampaikan pertanyaan kaum wanita mengenai kedudukan kami berbanding kaum lelaki.

"Wanita bertugas menjaga rumahtangga dan menanggung kesakitan sepanjang kehamilan dan melahirkan anak. Lelaki pula mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada wanita. Lelaki boleh mengerjakan solat jumaat, menziarahi jiran yang sakit, menghantar jenazah ke kubur, mengerjakan haji dan berperang ke jalan Allah.

"Sementara wanita ditinggalkan untuk menjaga harta dan memelihara anak serta rumahtangga." Pendek kata, Asma' telah meluahkan isi hati yang mewakili pandangan kaum wanita lain yang menganggap bahawa kedudukan mereka lebih rendah berbanding lelaki. Soalnya lagi, "Mengapa kami tidak boleh berpeluang menyertai kaum lelaki dalam mengerjakan kebaikan dan pahala?"

Rasulullah terharu mendengar luahan hati Asma'. Baginda berpaling pada sahabat dan bertanya, "Pernahkah anda semua mendengar tentang wanita yang begitu arif dalam urusan agamanya selain wanita ini?"

Balas seorang sahabat, "Kami tidak sangka ada wanita yang diberikan hidayah oleh Allah setinggi ini." Akhirya Rasulullah menerangkan kepada Asma', "Terangkanlah kepada kaum wanita lain bahawa kebaikan mereka ada pada suami. Hidup saling menyukai dan mengikut perintah. Semua itu menyamai pahala kaum lelaki yang kamu katakan tadi." Jawapan itu sangat menggembirakan Asma dan kaum wanita yang diwakilinya.

Thursday, July 30, 2009

Berjalan Di Pantai...

Tempat paling sesuai untuk membuat aktiviti/senaman berjalan ialah di tepi pantai. Semakin halus struktur pasir, semakin besar beban latihannya.

Berjalan di atas pasir pantai membuatkan otot-otot kaki akan bekerja lebih kuat. Ketika berjalan, pasir akan menyerap getaran lebih banyak.

Bagi permulaan, pakailah kasut ketika memijak pasir yang keras/padat. Elakkkan berjalan di atas pasir yang panas.

Bagi mengencangkan peha pula, berjalanlah di dalam air paras betis ataupun pinggang.

Cuba-cubalah praktikkan.

Thursday, July 23, 2009

Jom makan-makan...









Ada kalanya seronok bila masak pelbagai variasi. Bila masak lebih, boleh bagi jiran sebelah sekali. Macam seronok je bila jiran pun sama-sama dapat merasa masakan yang kita masak.

Menunya tak lah hebat sangat. Tapi bila dah lama tak masak menu ni...teringin nak makan semula.

Sekarang ni kan musim durian. Bila dah jemu makan roti kosong/biskut kering cicah dengan kuah durian, cuba pulak buat tempoyak masak

Aku dan Zool memang suka makan tempoyak masak. Potong timun...kemudian makan timun dengan tempoyak masak ni. Mmmmm...sedapnya...Resepi ni minta dari Ngah (Mak Ngah Zool).

Bhan-bahannya:
Tempoyak
Udang basah (saiz kecil)
Santan
Daun kunyit
Cili api
Garam
(letakkan asam gelugur kalau tempoyak tak cukup masam)...ikut sesedap rasalah.

***Campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan kacau. Bila dah sebati dan mendidih tutup api. Senang je kan???

Tempoyak masak ni la yang kami nak makan sangat, menu yang lain tu kira untuk mevariasikan lagi hidangan.

Menu lain; Sambal Ikan Tenggiri + Kacang Buncis, Goreng Kangkung Belacan + Taucu. Masak Kicap Kerisik Daging dan buah manggis sebagai 'dessert'.


Wednesday, July 22, 2009

Petua Khamis...Halau Bubuk

Menyimpan beras yang terlampau lama akan menyebabkan kehadiran bubuk. Cara untuk mengelakkan kehadiran bubuk, ambil beberapa tangkai cili kering dan serai lalu dimasukkan ke dalam bekas beras.

Satu lagi petua yang boleh diamalkan ialah dengan meletakkan daun limau nipis/purut dan masukkan ke dalam bekas beras tersebut. Selain tidak berkutu, beras juga akan berbau wangi.

Petua tersebut telah saya lakukan. Alhamdulillah, beras saya tidak dikunjungi oleh bubuk lagi.

Tuesday, July 21, 2009

8 Kuasa Senyuman...

  • Senyuman mengubah perasaan.
  • Senyuman menghilangkan tekanan.
  • Senyuman meningkatkan imunisasi
  • Senyuman menurunkan tekanan darah.
  • Senyuman rahsia kepada awet muda.
  • Senyuman menjadikan anda lebih menarik.
  • Senyuman menjadikan anda lebih sukses.
  • Senyuman menyebabkan orang berfikir secara positif tentang diri anda.

Oleh itu, senyum-senyumlah selalu. Jangan lokek dengan senyuman kerana senyuman memberikan penawar kepada hidup kita.

Tak percaya praktikkan, nescaya hidup kita akan lebih ceria dan bahagia.

(sumber: Majalah Rapi)

Tuesday, July 7, 2009

Amniy Demam...



Alahai, ngantuknya aku hari ni! Tak cukup tidur sebab Amniy demam. Amniy terjaga banyak kali sebab dia nak minum susu. Mesti dia rasa dahaga je sebab badannya panas.

Pukul 4 pagi tadi, dia terus terjaga dan tak boleh tidur. Badannya semakin panas.Walhal sebelum tidur aku dah bagi minum ubat demam. Bila dah terjaga tu, dia terus bercakap-cakap (cakap dia la, cakap bayi berumur 15 bulan) sambil menepuk-nepuk mukaku.

Aku memang tak boleh tidur! Aku terus ke dapur dan memberi ubat demam sekali lagi pada Amniy. Dah la susah makan ubat sekarang ni! Dulu senang jer. Minum guna sudu terus je telan. Ni siap guna picagari lagi. Habis disembur-sembur ubat tu keluar dari mulut. Ya Allah! 'Challenging' betul pagi-pagi buta ni. Mujurlah suamiku terjaga membantu untuk memegang Amniy.

Lepas tu aku masukkan dia dalam buai. Letak dahinya dengan 'cool fever'. Aku duduk mengenjut sampai pukul 5 pagi. Amniy tak juga lena-lena. Mungkin badannya terasa bisa-bisa. Aku terus mengenjut sambil baring pula. Aku tak sedar bila dia terlena dan aku pun turut lena.

Sedar-sedar jam telah menunjukkan pukul 7 pagi. Ya Allah! Subuh gajah la aku pagi ni! Selepas mandi dan solat terus menyiapkan sarapan pagi untuk suami dan anak-anak nak pergi sekolah.

Memang rasa ngantuk yang amat sangat! Tapi apa nak buat banyak kerja rumah lagi nak buat. Kepala ni dah pening sangat. Badan pun dah sakit-sakit sebab tidur tak betul. Rasa macam nak demam pula.

Tapi itu lah hakikatnya pengorbanan seorang ibu. Menjaga anak kecil yang demam yang banyak ragamnya. Disebabkan sayangkan anak,sanggup berjaga malam.

Semua ibu yang mempunyai anak kecil akan mengalami pengalaman yang sama. Mungkin pengorbanannya lebih dari itu.

Kepada para ibu, memang kita kena cekal, sabar dan kuat semangat. Selagi ada anak kecil, selagi itulah kita akan berjaga malam.

Sunday, July 5, 2009

Eisya Dah 8 Tahun...

Kek hari jadi Eisya 'black forest'



Nak pergi sekolah la tu...


Eisya 5 bulan


Ibu dengan Eisya di rumah Sentul


Pertama kali beraya bertiga (2001)


Eisya (1 tahun 1/2) dengan baju kurung rayanya


3 Julai 2009 (Jumaat), Eisya genap 8 tahun. Bermakna hampir 9 tahun perkahwinan kami. Alhamdulillah, semoga Eisya terus menjadi anak yang baik dan solehah. Mudah-mudahan juga perkahwinan kami juga dilimpahi dengan rahmat dari-Nya. Amin.

Bila imbas balik macam mana aku melahirkan Eisya 8 tahun yang lalu...rasa-rasa macam tak nak melahirkan lagi. Tapi apa pun sekarang ni dah ada pun 3 orang puteri. Putera je yang belum ada lagi. Allah masih belum mengurniakan kami rezeki seorang putera. Ha...kata orang cuba lagi jangan putus asa! Insyaallah, Allah itu Maha Kaya. Apa pun kami tetap bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan.

Sehari sebelum melahirkan Eisya aku demam. Aku ingat ianya demam biasa, jadi tak de la kisah sangat. Aku ingat lagi...hari tu hari Isnin. Disebabkan dari awal pagi badan dah rasa tak sedap dan perut pun rasa berat semacam, aku pun tak pergi kerja. Sambil menunggu Zool (suamiku) membaiki lampu kereta yang rosak di bengkel Rawang...aku pun baring di rumah.

Ishhh...terasa lama pulak Zool pergi tak balik2. Rasa boring pun ada. Masa tu lah aku sempat menelefon kawan2...bertanya macam mana pengalaman bersalin. Maklumlah, aku tak de pengalaman bersalin. Ish...ada pulak salah seorang kawanku yang bercerita pasal pengalaman ngeri, anak meninggal dalam perut sebab termakan najis, lemas dalam perut dan sebagainya. Lagi la aku rasa 'gabra'.

Mahu tak mahu...aku gagahkan juga untuk bangun untuk makan dan minum macam biasa. Tapi menjelang maghrib tak sedap badan tak juga hilang2.

Ketika solat maghrib masuk rakaat kedua, tiba-tiba aku rasa kain telekungku dibasahi dengan cecair suam. Eh! Apa yang panas2 ni??? (terdetik dalam hati). Air semakin banyak. Aku masih meneruskan solat untuk rakaat terakhir. Selesai solat, aku bertanya dengan Zool, " Bang air apa yang panas2 keluar kat kain telekung ni??? Zool terdiam. Kami masing2 tak tahu jawapannya. Masa tu aku tak rasa sakit apa2 pun walaupun sikit.

Dengan bingkas aku menelefon Kak Ana (arwah kakak iparku di Keramat). Aku menceritakan keadaan yang telah berlaku. Ha...tu dah nak bersalin la tu! Zzzuppp!! Aku pun apa lagi. Tiba-tiba rasa panik. Ye la memang tak ada pengalaman lagi! Sebab sebelum ni bila tanya kakakku yang di Shah Alam kata, kalau nak bersalin akan keluar tanda darah. Rupanya itu tanda yang dia alami. Ye la, lain orang lain tandanya .

Apa lagi, sementara menunggu abang sulungku (juga dah arwah) dan arwah Kak Ana, aku pun berkemas beg dan menyuruh Zool makan nasi dulu. Kami memang belum sempat menjamah sebutir nasi pun. Kebetulan pulak hari tu aku merebus 2kg kerang...teringin sangat nak makan masa tu. Sebelum pergi ke hospital sempat lagi aku mengupas 3 biji kerang sebab tak nak kempunan. Selebihnya disedekahkan kat jiran sebelah.

Bila abang dan kakak iparku datang, kami pun bergegas ke hospital swasta di Gombak. Kira Sentul dengan Gombak tak lah jauh. Mujurlah, lampu kereta telah pun dibaiki. Kalau tak, dah tentu bawa kereta tak berlampu!

Setibanya di hospital tersebut, doktor membuat pemeriksaan ke atasku dan mengatakan bayi kurang aktif, bukaan masih 2cm tapi air mentuban dah keluar banyak. Doktor tersebut menegaskan supaya aku dibawa ke HKL sebab di situ tiada kelengkapan untuk menjalani pembedahan sekiranya 'caeserian' dijalankan. Aku pun dimasukkan ke dalam ambulan untuk dibawa ke HKL. Itulah pengalaman pertama aku naik ambulan. Fikiran risau tak terkira mengenangkan keadaan bayi di dalam perut ni.

Disebabkan kes aku ni, aku terpaksa di'induce'.Ya Allah sakitnya, Tuhan saja yang tahu. Selama hampir 9 jam aku menahan sakit. Tergolek-golek macam lembu nak kena sembelih. mengerang dan menahan kesakitan sampaikan terlena. Sedar-sedar Zool dah ada di sisi mengusap-ngusap kepalaku. Sakitnya datang dan pergi. Perut ni pulak macam kena gerudi. Usapan tangan Zool di kepalaku untuk melegakan kesakitan tidak lagi terasa. Aku hanya mampu berselawat banyak2 dan menarik nafas panjang2 untuk mengurangkan kesakitan. Namun lega apabila ada suami tersayang ada di sisi.

Rupa2nya dalam waktu aku mengerang kesakitan, doktor sedang menyiapkan peralatan di bilik bedah. Sekiranya selepas 9 jam tidak melahirkan aku akan dibedah.

Alhamdulillah berkat doa suami, ibu dan abang-abangku ketika solat subuh aku selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.0kg tepat jam 6.45 pagi. Kami pun bersepakat menamakannya Aliyatul Batrisya yang bermakna 'yang tinggi dan yang cerdik'. Hilang rasa kesakitan yang dialami selama hampir 9 jam. Alhamdulillah, ketika aku melahirkan Eisya, suamiku pun ada di sisiku. Aku memang 'respect' dengan suamiku sebab berani masuk ke 'labour room'.

Terima kasih kepada bidan yang telah menyambut kelahiran Eisya dan melayan aku dengan baik. Semoga Allah sahaja yang membalasnya.

Monday, June 29, 2009

Main Taman...











Ibu dah lama kita tak main taman....Jom la kita main taman. Asyik itu je ungkapan Eisya, anak sulungku. Aaa la bu,dah lama kita tak main taman. Lama-lama aku jadi kesian dengan dia orang ni. Sejak -dua menjak, kami ni pun asyik sibuk je. Ada je halnya.

Memang dah lama sangat tak pergi taman bawa dia orang ni bermain-main. Ya la sejak ada Amniy. Amniy pun dah 1 tahun 3 bulan. Bukan la tak bawak dia orang langsung ke 'playground'. Pergi KFC, Marry Brown, Giant, Tesco dan tempat-tempat lain ada la dia orang main, tapi 'indoor playground' dia orang ni tak puas main.

Aku pun cuba la mengajak Zool, kot-kot 'interested'. Wah! Hasilnya lumayan. Zool, suamiku nak pergi bersama. Kami bersetuju pergi ke Taman Batu Gajah. Tempatnya lebih luas dan banyak permainan yang dia orang boleh main.

Amniy apa lagi. Kerja mengukur taman. Jenuh la 'mengejor' dia. Eisya dan sarah pulak asyik bertukar-tukar mainan je. Sekejap naik buai, sekejap ke tempat jongkang-jongkit. Hah! Suka hati koranglah. Biar dia orang ni puas hati.

Lega kami rasa, bila tengok anak-anak seronok. Sekurang-kurangnya dapat jugak kami menghirup angin petang.

Ada masa dan kesempatan nanti kita pergi lagi ye!

Menu Hari Ini...





Entah kenapa, hari terasa nak makan sambal tumis ikan sardin ditambah dengan cili api. Dah lama tak masak ikan sardin. Kebetulan memang stok ikan sardin ada dalam kabinet tu. Penuh kabinet tu, maklum la baru lepas gaji katakan.

Lepas tu kombinasi dengan udang masak lemak cili api campur dengan kacang panjang. Dulu, aku tak pandai sangat masak menu udang masak lemak ni. Tapi lepas berkahwin dengan Zool (suamiku), aku selalu tengok arwah mak mentua masak lemak udang dicampur dengan kacang panjang ataupun kacang buncis.Mesti letak cili api, baru la kaw!

Bila nampak udang besar-besar ni...aku terkenang arwah mak mentua. Bila anak-anaknya balik ke kampung, beliau suka sangat masak sambal udang, masak lemak udang dicampur dengan labu (letak cili api). Pendek kata, memang makan 'menjilat siku' le. Itu kata-kata arwah yang aku ingat sampai ke hari ini. Tak cukup dengan masak, bila balik ke rumah, siap dibekalkan lagi. Tambah-tambah kami anak-beranak memang 'antu udang'. Zool je yang kurang makan udang sebab kulitnya alah dengan 'seafood'.

Mungkin rasa masakanku tu tak sebijik sesedap arwah masak, tapi metod tu dah aku warisi darinya. Rupa masakan sama, tapi mungkin rasa berbeza. Dek kerana satu metod yang kita tak ikut, menyebabkan rasa masakan tu berbeza. Dulu, aku tertanya-tanya kenapa rasa tak sama macam ibu/ ibu mertuaku masak. Rupanya disebabkan termasuk sebijik bawang putih menyebabkan masak lemak tu lain rasanya.

Sambal tumis ikan sardin dah ada, masak lemak cili api udang + kacang panjang pun dah siap. Nak syok lagi goreng ikan masin sikit dan letakkan bawang goreng yang digoreng sendiri (goreng garing). Haa...baru rasa berselera. Tergigit pulak cili api! Fweeeeh! Pedas tapi sedap!

Mmmm...walaupun menu hari ini tak seberapa tapi boleh menguji keimanan jugak la kalau perut dah laparrrr! Dimakan pulak dengan nasi panas. Mau dua pinggan nasi nih!