Wednesday, May 18, 2011

Ayam Kam Heong


Salam semua,

Dah lama sangat tak 'up-date' blog ni. Resepi ni dah lama nak share tapi tersimpan dlm PC...kalau letak di luar dah lama berhabuk...he3.

Resepi masakan Cina Muslim...ada kelainan dan keenakannya yang tersendiri. Lihat pada namanya...'Ayam Kam Heong'. Jika dah jemu dengan masakan Melayu atau kampung...jom cuba resepi ni.

Bahan-bahan:

500 gm ayam ( digoreng dengan sedikit tepung)
60 gm tepung gandum
4 tangkai cili padi (diketuk)
2 tangkai cili merah (dihiris)
2 labu bawang besar (dicincang)
4 ulas bawang putih (dicincang)
2 sudu makan rempah kari
2 sudu makan cili sos cili
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan kicap
2 sudu makan sos tiram
5 helai daun kari
Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

Gaulkan ayam bersama tepung dan kemudian goreng hingga masak. Ketepikan.

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan putih hingga naik baunya.

Kemudian masukkan serbuk rempah kari bersama sos cili, sos tomato, daun kari, kicap dan juga sos tiram.. Kacau rata dan biarkan hingga pekat.

Masukkan ayam bersama cili merah dan juga cili padi. Gaulkan ayam rata.

Masukkan garam, gula dan angkat.

Hidangkan bersama nasi putih.

Selamat mencuba!

Thursday, January 20, 2011

Ayam Kalio



Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam
1 btg serai diketuk
3 keping daun purut
2 keping asam gelugur
2 sudu cili giling
1 cawan santan pekat

Bahan2 untuk kisar
1/2 cm halia
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 cm kunyit dikisar

Caranya:

Satukan semua bahan -bahan yang dikisar dengan santan, serai dan cili giling ke dalam kuali.

Masukkan ayam yang telah dipotong.

Kemudian masakkan atas api (jangan sampai pecah minyak).

Masukkan daun limau purut.

Bila santan sudah separuh masak, masukkan asam keping, garam dan gula. Biarkan agak pekat.

p/s: Kepada yang suka berkuah bolehlah tambah santan lagi. Sesuai juga dimakan dengan nasi impit.

Thursday, January 6, 2011

Resepi Pilihan : Kerabu Sotong




1/2 kg sotong (potong bulat)
1 labu bawang besar - dihiris nipis
2 biji tomato - dipotong kecil
2 batang serai - dipotong halus
2 biji cili merah - dicincang kasar
5 biji cili api - dihiris nipis
4 sudu besar sos ikan
3 biji limau kasturi - diperah
1 kuntum bunga kantan- dihiris halus
garam dan gula secukup rasa

Caranya:

Sotong direbus terlebih dahulu (lebih kurang dalam 5 minit). Kemudian toskan.

Campurkan kesemua bahan-bahan di atas.

Setelah siap, bolehlah dihidangkan.

p/s: Terima kasih kepada Kak Kamsiah (rakan blogger) yang sudi berkongsi resepi.
Memang menyelerakan.

Tuesday, December 14, 2010

Roti Goreng Bersalut Oat



Bangun pagi-pagi tak ada idea nak buat breakfast apa. Jenguk dapur nampak stok roti banyak lagi. Aku teringat koleksi resepi dalam Majalah Keluarga. Biasa buat roti goreng dengan telur je....Kali ni cuba salut dengan oat...sedap ke? Nak ke anak-anak aku ni makan? Tak pe...cuba je lah. Hmmm...sedap juga...licinnn....dan lebih mengenyangkan sebab ada oat.

Sesiapa yang nak cuba, bolehlah mencuba. Simple sahaja.

Bahan-bahan:

8 keping roti - dipotong 4
2 butir telur
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1/2 sudu kecil garam
90 gm oat (agak-agak je)
sedikit minyak untuk menggoreng

Cara:

Pukul telur dan masukkan sedikit garam, lada hitam.

Panaskan minyak dan celupkan kepingan roti dalam campuran telur. Golekkan dalam oat dan kemudian goreng hingga garing.

Hidangkan dengan sos.

Monday, December 13, 2010

Mee Goreng Uncle Muthu




Gara-gara menyaksikan cerita Upin & Upin petang semalam, pagi ni kami breakfast dengan Mee Goreng Uncle Muthu. Apa kaitannya??? Inilah pengaruh cerita Upin & Ipin. Upin & Ipin meng'order' Mee Goreng bersama Telur Mata Kerbau di kedai Uncle Muthu.

Eisya, anakku yang sulung sibuk meminta aku memasak menu tersebut. Akhirnya terhasillah Mee Goreng yang berwarna hitam sebijik macam mee goreng Uncle Muthu bersama Telur Mata Kerbau...he...he...he...(aku yang bukan lagi budak-budak ni pun terpengaruh jugak). Perut lapar punya pasal la ni....

Sunday, December 12, 2010

Pankek Krim Kastard




Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
2 sudu gula
1 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil garam
1 biji telur
1 cawan susu segar/susu isian sejat
2 sudu minyak sayur/minyak masak

Caranya:

Pukul telur bersama gula.
Masukkan susu, gula, garam, tpg gandum dan baking powder.
Kacau hingga sebati. (Jika perlu tapis terlebih dahulu)
Cedok adunan menggunakan senduk sedang dan masak di atas 'non-stick' pan.
Biarkan hingga masak.
Angkat dan boleh letakkan krim kastard di atasnya.

Krim Kastard:

1 cawan susu segar/susu sejat
2 sudu besar gula
1 sudu tepung kastard

***Kacau di atas api sehingga mendidih.

Saturday, November 27, 2010

Kepentingan Solat



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain".
(Riwayat at-Tirmidzi)

Huraian :

* Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.

* Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.

* Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): "Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari".

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Saturday, August 14, 2010

Pahala Yang Berterusan Selepas Kematian

7 macam pahala yang dapat dinikmati selepas matinya salah seorang anak Adam.

Dari Anas r.a berkata,

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu
digunakan oleh orang untuk beramal ibadat.

2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum
daripadanya

3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang
mambacanya.

4. Orang yang menggali perigi ,selagi ada orang yang menggunakannya

5. Sesiapa yang menanam tanaman selagi ada yang memakannya tidak kira
manusia atau haiwan

6. Mereka yang mengajar ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang
yang mempelajarinya. Yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Quran maka orang yang mengajarnya akan amendapat pahala selagi anak itu mengamalkannya

7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan
kedua orang tuanya dan beristigfar baginya. .

Abu Hurairah berkata Rasulullah s.a.w bersabda - "Apabila mati seorang anak
Adam itu maka terhentilah amalnya kecuali 3 perkara:-


1. Sedekah yang berjalan terus (sedekah amal jariah)

2. Ilmu yang berguna dan terus diamalkan

3. Anak yang soleh yang mendoakan baginya

Friday, August 6, 2010

Apa Punca Anak Derhaka?

Sabda nabi saw, "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)." Di mana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya..... bukan muka, punggung, telinga dan di tempat-tempat yang sensitif.... itu salah!

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka".

Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.

"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

"Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup,".

Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka".. inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar.

Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT

Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka?

Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat
suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang
masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu?

"Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi
menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA

Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa".

"Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka.
"Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita.
Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."

USAH DERHAKA KEPADA MENTUA

"Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri.
Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita
sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga?"

"Saya tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah , kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.

"Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga
suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu. Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail,suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. "Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. "Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. "Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain." bukan saya nak bawa kisah ni untuk mudah orang nak bercerai dak pakat elok-elok.... sekian
wallahua'lam.... sehingga berjumpa lagi....

Sedutan dari ceramah Dr. Fadhilah Kamsah

Sumber: Blog Syifa Al-Hidayah (Ustaz Lokman)

Wednesday, May 12, 2010

Selamat Hari Ibu



Pagi-pagi lagi (Ahad, 9 Mei 2010) Eisya, anakku yang sulung telah menghulurkan kepadaku sebungkus hadiah kecil (bekas pen dihiasi dengan gambar ikan). Amniy, anakku yang paling kecil berusia 2 tahun juga telah menghulurkan sebuah kotak yang berisi sekuntum bunga bersama 'bear'. Hadiah tersebut juga mewakili anakku yang kedua, Sarah.

Aku merasa terkejut dan terdiam.... hadiah sempena apa ni? Macam manalah aku tidak teringatkan yang hari tersebut adalah Sambutan Hari Ibu.Aku sangkakan yang Hari Ibu disambut pada hari Selasa bukanlah pada hari Ahad.

Apa pun terima kasih buat 3 orang puteriku yang mengingati Hari Ibu dan Eisya terutamanya yang bersungguh-sungguh untuk membeli hadiah-hadiah tersebut.

Patutlah sebelum hari tersebut, dia selalu berbisik-bisik dengan ayahnya. Rupa-rupanya, ada 'plan' yang telah diatur.

Semoga anak-anak ibu menjadi anak-anak yang solehah dan menjadi insan yang berguna di satu masa kelak. Amin.

Wednesday, March 31, 2010

Hari Jadi Amniy Yang Ke-2





Amniy telah pun memcecah umur 2 tahun pada 28 Mac 2010 yang lalu. Keletahnya melucukan dan suka mengajuk orang bercakap.Hobinya menulis dan membaca seperti gaya orang dewasa. Kadang-kadang, entah apa-apa saja yang dibacanya (bahasa Amniy), kami pun tak faham. Gaya yang lebih.

Pada hari jadinya, aku sempat membuatkan kek coklat untuknya. Dekorasi yang sangat ringkas asalkan kek tersebut boleh dimakan kami sekeluarga dan tak lupa juga jiran-jiran sebelah.

Terima kasih kepada Kika panggilan Amniy kepadanya, yang bermaksud Kak Fika (anak jiran sebelah) kerana memberi hadiah seekor 'bear' kepada Amniy. Fika memang rajin melayan Amniy bermain dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.

Ibu doakan semoga Amniy menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia dan di akhirat.

Thursday, March 25, 2010

Petua Khamis : Elak Sotong Daripada Kecut Setelah Dimasak


Ketika dimasak sotong akan nampak seperti kembang/gebu. Namun, setelah dimasak, sotong akan menjadi kecut. Bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, rendamkan sotong ke dalam air yang bercampur dengan cuka selama 2 minit. Hasilnya, insyaallah sotong yang dimasak akan tampak segar.

Tuesday, February 9, 2010

Sifat ego dan bangga diri


Manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini. Setiap manusia di muka bumi ini berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu, kita hidup di bumi ini perlu saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Ibaratkanlah hidup kita sebagai batu-bata untuk membina rumah. Sekiranya kurang satu batu-batu itu, maka tidak lengkaplah rumah yang ingin dibina.

Sekiranya seseorang manusia diuji dengan ilmu dan kepandaian, janganlah menganggap dirinya hebat, kita perlulah melihat ke bawah juga. Kadangkala kehebatan dan kepandaian boleh merosakkan iman seseorang. Akibat sifat bangga, takbur dan ego pada diri sendiri, boleh merosakkan keimanan seseorang. Nau`zubillahi min zalik !!.

Sekiranya kita amati, Islam menyuruh kita mempelajari ilmu akhlak terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Hal ini amat praktikal, iaitu terjadi apabila seseorang itu, telah menguasai ilmu akhlak, maka dengan mudah baginya menguasai diri dan memandu kehidupannya. Maka hendaklah kita nilai diri kita terlebih dahulu, adakah kita telah menguasai ilmu akhlak?? Atau masih lagi tidak mengetahui asal usul ilmu tersebut.

Apalah yang ada pada ilmu sekiranya tidak disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt ta`ala. Sikap ego dan bangga diri akan lahir apabila melihat diri sendiri hebat dari orang lain. Kehebatan diri jauh lebih baik dari orang lain. Melihat kekurangan yang ada pada diri orang lain sambil mentertawakan orang itu. Begitu juga melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami orang lain.

Oleh itu cara terbaik mengelakkan diri daripada sifat ego dan membangga diri ialah dengan selalu mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Beristighfar dengan memikirkan kesilapan yang dilakukan dan bertaubat dengan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. Sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantulah insan yang memerlukan bantuan dengan berlapang dada, tanpa disuruh dan tanpa diumumkan. Itu lebih baik di sisi Tuhan rabbul i`zzah.

Sumber: http://blogs.iium.edu.my

Wednesday, January 13, 2010

Tumis Lala Ah...Sedap


Hmmm...ini resepi kegemaran keluargaku...tapi lama tak pekena! Sejak Zool tak boleh makan makanan (lauk) yang berbisa (lepas pembedahan paru-paru hari tu). Biasanya seminggu sekali mesti pekena Tumis Lala ni. Terutamanya Eisya, dia memang cukup meminati hidangan ini. Tapi kalau aku memasak lala ni nanti pasti Zool tengok je kami makan. Hmmm...disebabkan tak sampai hati, aku membuat keputusan tak perlu membelinya sehinggalah zool betul-betul sembuh. Kalau aku dan Eisya nak makan, kami makan sahaja di kedai.

Resepi:

Lala (dalam 2 kg)
Bawang besar dipotong
Kunyit hidup (agak2 je) diketuk
Serai (2 batang - diketuk)
Daun kunyit ( 1 helai)
Cili Boh ( ikut suka)

Caranya:

Tumiskan bawang besar, kunyit hidup, serai dan cili boh. Bila dah agak kering/kekuningan baru masukkan lala tadi. Gaulkan supaya lala dan bahan tumis tadi serata. Kemudian masukkan daun kunyit. Tambahkan garam dan sedikit gula mengikut citarasa.

Hidangkan dengan nasi panas...hmmm....enak. Tak percaya cubalah!

Thursday, December 3, 2009

Nasi Ayam Ala Wardah



Hmm...dah lamanya tak 'berblog'. Sibuk sangat dengan rutin harian menyebabkan aku meletakkan 'blogku' di tempat yang terakhir. Usahkan nak menulis, nak 'on' pc pun tak sempat.

Ye la masa tu kan Zool masuk wad di hospital Ipoh (5 hari) dan selepas itu dia dimasukkan ke IJN (13 hari). Aku dan anak-anak pula tinggal di Keramat rumah anak saudara disebabkan aku ingin menjaga Zool di IJN. Bila dah balik rumah, macam-macam urusan yang perlu diselesaikan secara solo. Semuanya berlalu dengan begitu pantas. Namun, Allah jua yang Maha Mengetahui hati dan perasaan ini. Bersyukur sangat kerana semua urusan dipermudahkan dan aku memiliki ahli keluarga yang sangat mengambil berat dan begitu 'supportive' baik dari sebelah keluargaku mahupun sebelah Zool. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik kalian semua.

Hari ini tiba-tiba mood untuk memasak datang kembali. 'Check' stok di dalam peti ais pun tak banyak sayur-sayuran yang ada. Lauk mentah ada ayam dan daging je. Aku pun membuat keputusan untuk membuat Nasi Ayam...lebih mudah dan cepat. Memandangkan hari ini, aku sedang membuat operasi mengemas rumah...gara-gara ditinggalkan hampir 3 minggu.

Akhirnya, siaplah Nasi Ayam Ala Wardah. Resepi asal nasi ayam tersebut minta dari Abang Teh (entah berapa tahun yang lalu)...tapi ayam dan sambalnya diambil dari internet dan 'dimodify' sendiri....hmm...asalkan famili aku suka makan.

Resepi Nasi Ayam Ala Wardah:

Bahan2 Nasi Ayam:
Stok ayam
Bawang merah, serai (1 btg), dan halia ditumis dgn mentega (buttercup)

Ayam Goreng:

Ayam yang telah dipotong dan dibersihkan diperap dengan:
tepung gandum, halia dan bwg putih (ditumbuk), serbuk kunyit, garam, sedikit cili boh,sedikit susu lemak manis (utk melembutkan lagi ayam)

###namun jika anda tidak menggemari susu lemak manis dicampurkan, ianya tidak perlu letak pun boleh juga.

***Ayam Goreng boleh juga digantikan dengan Ayam Panggang jika anda tidak suka berlaukkan Ayam Goreng. Semuanya terpulang kepada individu tersebut.

Sambal:
Cili Sos
Tomato
Kicap Manis
Sos Tiram
(semua dicampurkan utk mendapatkan rasa yg sebati)

Wednesday, October 14, 2009

Kebaikan/Kelebihan Minum Air Suam


Fakta ini sangat baik kepada sesiapa yang mementingkan kesihatan . Ianya bukanlah semata-mata berkenaan air suam, tetapi juga berkenaan serangan jantung. Masyarakat Cina dan Jepun minum teh panas ketika bersarapan, bukannya minum air sejuk. Mungkin inilah masanya, kita perlu mengubah tabiat minum semasa makan.

Kepada sesiapa yang gemar minum air sejuk, fakta ini sangat bermakna buat anda. Memanglah sesuatu yang nikmat untuk minum segelas air sejuk selepas makan. Walaubagaimanapun, air sejuk akan melikatkan minyak yang kita makan bersama hidangan. Sudah tentu ia melambatkan lagi proses pencernaan. Sekali gumpalan minyak ini bertindakbalas dengan asid di dalam perut, ia akan memecah dan diserap oleh enzim intestine lebih cepat berbanding makanan pejal. Ia akan selari dengan enzim intestine. Dalam masa terdekat, ia berpotensi bertukar menjadi lemak dan mendorong kepada kanser. Jadi, adalah sangat penting untuk minum sup panas atau air suam selepas menikmati sesuatu makanan.

Petanda Lazim Serangan Jantung
Anda seharusnya mengambil tahu yang petanda serangan jantung bukan sahaja pedih pada sebelah kiri dada. Awasi jika terasa sakit yang menyesakkan pada dada kiri. Mungkin anda belum pernah merasa sakit dada semasa terkena serangan jantung. Muntah-muntah dan berpeluh berlebihan juga antara tanda-tanda lazim. 60% pesakit yang terkena serangan jantung adalah ketika sedang tidur dan tidak boleh bangun dari tidur. Sakit pada dada boleh menyebabkan tidak sedarkan diri. Berhati-hati dan berjaga-jagalah sentiasa. Lebih banyak yang anda ketahui berkenaan serangan jantung, maka lebih peluang untuk anda terselamat.

Kata pakar kardiologi (jantung), jika seseorang telah membaca fakta ini, sebarkanlah ia kepada 10 orang lain yang dikenali, anda mungkin tidak mampu menyembuhkan pesakit, tetapi anda sebenarnya berjaya menyelamatkan seseorang dari menjadi pesakit.

Wednesday, October 7, 2009

Khasiat Susu Ibu

Kelahiran bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.

Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Allah telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan mereka.

Susu ibu menyelamatkan nyawa

Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.

Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.

Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.

Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.

Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Mengapa tidak menyusu?

Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.

Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

Khasiat dan kebaikan susu ibu

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Susu ibu menguntungkan wanita

Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.

Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.

Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.

Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.

Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.

Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.


Sunday, October 4, 2009

Kuih Siput

Kuih siput yang sedap


Kuih siput ni adalah antara kuih tradisional. Ianya samalah/seangkatan dengan kuih loyang, peyek, kuih tiram, kuih sepit dan lain-lain lagi. Dengan kata lain, ianya kategori kuih-kuih lama yang memang popular pada zaman aku kecik-kecik dulu. Aku kecik....zaman 70-an le kan.

Kuih siput masih juga popular sekarang ini walaupun ianya bersaing dengan biskut tiramisu, almond london, night sprinkle dan pelbagai jenis cookies yang lain. Ini kerana keenakan dan rasanya yang tersendiri menyebabkan kuih siput masih tidak dapat dilupakan.

Raya tahun 2009, kuih siput merupakan salah satu variasi kuih raya kami. Memang bukan buat sendiri tapi jiran kami yang buatkan. Cuma bagi modal tepung 1kg dan satu buku buttercup je...daun kari ambil kat depan rumah (tanam sendiri). Aku nak bagi rempah ratusnya dan minyak masak untuk menggoreng, mati-mati Kak Ziah (jiran kami) tak nak.

Katanya, 'tak pe Kak Ziah nak tolong je, bukan nak ambik upah apa pun. Bagi je tepung dengan butter. Nanti Kak Ziah gorengkan. Subhanallah! Mulia sungguh hatinya nak menolong aku buatkan kuih siput ni. Dia tahu yang anak sulungku, Eisya menggemari kuih tersebut.

Memang pada asalnya, kami ingin membuat dan menggoreng sama-sama di rumahnya (sebelah rumah je). Tapi disebabkan Amniy tak sihat dan meragam, aku tak berupaya untuk menggoreng bersama-sama dengannya. Tau-tau kuih siput dah ada 2 balang di atas meja.

Apa pun terima kasih banyak-banyak pada Kak Ziah kerana bersungguh-sungguh untuk menggorengkan kuih siput dan hanya Allah saja yang membalas kemuliaan hati dan segala kebaikan beliau.

Friday, October 2, 2009

Kerabu Paku Pakis + Tauge Berkerang


Semalam aku mencuba resepi yang Kak Kamsiah beri di blognya. Hmmm...dah lama tak buat kerabu ni. Ada 2 tahun kot. Masa tu buat pun selepas bertanya resepi dengan Kak Zan sepupu Zool. Lepas-lepas tu, tinggal makan je...sama ada makan di kedai atau orang lain yang buat.

Hmm...Kak Kamsiah terima kasih sangat letak resepi kat blog akak. Cuma di'modify ' sebab Zool nak letak pucuk paku. Kak Kamsiah punya resepi menggunakan tauge sebagai sayur utama. Tapi yang aku buat ni letak pucuk paku sebagai sayur utama dan dicampurkan dengan sedikit tauge. Lepas tu ditambahkan dengan kerang. Sedapppnya.....nanti nak buat lagi lah!

Resepinya:
Pucuk paku & tauge (dicelur)

Kerang (direbus)
Cili merah + cili padi + belacan +udang kering (ditumbuk)
Limau kasturi (perah, ambil airnya)
Kerisik
Bawang besar (dihiris2)

Garam & gula secukup rasa


Caranya:

Campurkan bahan2 yang ditumbuk bersama kerisik. Gaulkan rata.

Masukkan pula pucuk paku, tauge, kerang dan hirisan bawang.
Tambahkan garam dan gula secukup rasa.

Akhir sekali, perahkan asam limau. Gaulkan sehingga rata.
Boleh la dihidangkan dan dimakan bersama nasi dan lauk-pauk yang lain.

Tak caya, cubalah!.

Antara sajian yang dihidangkan di Aidifitri (2009)

Cornflakes golden syrup +madu (mmg simple dan digemari oleh Eisya, Sarah & Amniy)


Cookies Yummy (sendiri buat le)


Variasi kuih raya 2009


Antara sajian yang dihidangkan..."Cheesy Bologneese Sphaghetti with Meatball" dan


Kue Tiaw Sup Tulang Lembu


Hubungan silaturrahim semakin akrab apabila adanya budaya ziarah-menziarahi dan saling kunjung-mengunjungi. Kemeriahannya terasa, lebih-lebih lagi kunjungan di Aidilfitri oleh adik-beradik, sanak-saudara, sahabat-handai, rakan taulan, jiran tetangga dan rakan lama yang telah lama tidak bersua.

Terfikir, apa yang ingin dihidangkan untuk mereka (tetamu) yang mengunjungi rumah kami. Mungkin ianya simple dan ala kadar tapi lebih bermakna bila sajian tersebut kami masak sendiri. Hilang rasa penat bila tetamu yang datang bersungguh-sungguh menikmati sajian yang dihidangkan.