Tuesday, February 9, 2010

Sifat ego dan bangga diri


Manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini. Setiap manusia di muka bumi ini berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu, kita hidup di bumi ini perlu saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Ibaratkanlah hidup kita sebagai batu-bata untuk membina rumah. Sekiranya kurang satu batu-batu itu, maka tidak lengkaplah rumah yang ingin dibina.

Sekiranya seseorang manusia diuji dengan ilmu dan kepandaian, janganlah menganggap dirinya hebat, kita perlulah melihat ke bawah juga. Kadangkala kehebatan dan kepandaian boleh merosakkan iman seseorang. Akibat sifat bangga, takbur dan ego pada diri sendiri, boleh merosakkan keimanan seseorang. Nau`zubillahi min zalik !!.

Sekiranya kita amati, Islam menyuruh kita mempelajari ilmu akhlak terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Hal ini amat praktikal, iaitu terjadi apabila seseorang itu, telah menguasai ilmu akhlak, maka dengan mudah baginya menguasai diri dan memandu kehidupannya. Maka hendaklah kita nilai diri kita terlebih dahulu, adakah kita telah menguasai ilmu akhlak?? Atau masih lagi tidak mengetahui asal usul ilmu tersebut.

Apalah yang ada pada ilmu sekiranya tidak disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt ta`ala. Sikap ego dan bangga diri akan lahir apabila melihat diri sendiri hebat dari orang lain. Kehebatan diri jauh lebih baik dari orang lain. Melihat kekurangan yang ada pada diri orang lain sambil mentertawakan orang itu. Begitu juga melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami orang lain.

Oleh itu cara terbaik mengelakkan diri daripada sifat ego dan membangga diri ialah dengan selalu mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Beristighfar dengan memikirkan kesilapan yang dilakukan dan bertaubat dengan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. Sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantulah insan yang memerlukan bantuan dengan berlapang dada, tanpa disuruh dan tanpa diumumkan. Itu lebih baik di sisi Tuhan rabbul i`zzah.

Sumber: http://blogs.iium.edu.my