Thursday, August 27, 2009

Nasi Hujan Panas...



Dah lama tak buat menu ni...hari ni tiba-tiba rasa nak masak Nasi Hujan Panas berlaukkan Ayam Masak Merah beserta Jelatah yang simple je (kobis potong halus +lobak disagat, perah dengan limau kasturi + cuka sedikit+ garam sedikit + gula sedikit...ala-ala Marry Brown). Tapi Marry Brown ada letak timun. Ni timun tak ada stok. Buat kari simple juga sebagai kuahnya.

Cukuplah sebagai menu utama berbuka puasa hari ini.

Wednesday, August 26, 2009

Rasulullah SAW Contoh Terbaik

Satu aspek sangat baik yang perlu dicontohi daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga. Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami, bapa, mentua dan datuk. Baginda menunjukkan contoh terbaik dalam memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sebagai suami, Baginda SAW begitu menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh pengertian dan kemaafan.

Baginda SAW juga tidak keberatan membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: “Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)

Sikap baik Rasulullah SAW terhadap isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda Aisyah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Apabila hendak memulakan suatu perjalanan, Baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Dalam kehidupan berpoligami juga, Baginda adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh dibahagikan sama rata. Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.

Pernah berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda datang menemui Baginda, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu. Baginda tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh semua isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.

Selepas itu, seperti biasa Rasulullah SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda mengikut giliran dan sebelum Baginda meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada isteri yang lain.

Kemudian Rasulullah SAW menyuruh isteri-isteri Baginda berkumpul kerana Baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan dikemukakan.
Rasulullah SAW berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka bahawa dia saja yang menerima cincin itu.

Rasulullah SAW adalah bapa penyayang. Acap kali apabila Baginda melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah sebab Baginda amat sayang kepada Fatimah. Baginda menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya, maka ia telah membahagiakanku.”

Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.

Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia, dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya. Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.

Memiliki sebuah keluarga harmoni memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda.

Ali sebagai menantu Rasulullah SAW turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di dapur. Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus menguruskan rumah tangga. Bukan Sayidina Ali tidak mahu menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu berbuat demikian. Fatimah amat memahami keadaan suaminya dan beliau sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.

Contoh kasih sayang datuk terhadap cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah dan suaminya Saidina Ali. Rasulullah SAW bukan saja sentiasa membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda menghampiri Baginda, Baginda terus mendukungnya. Baginda juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama. Baginda selalu meriba mereka. Pernah ketika Baginda sedang sujud dalam solat, cucu Baginda duduk di atas belakang Baginda sehinggakan Baginda sujud agak lama. Baginda juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.

Itulah antara kisah Rasulullah yang perlu diselusuri dan akhlak Baginda yang patut dijadikan contoh yang terbaik bagi kita umatnya. Insyaallah.


Monday, August 24, 2009

Jemput-jemput Pun Sedap...

Hari ini adalah hari ke-3 umat Islam menunaikan ibadah puasa. Bermakna sudah 3 hari Sarah (anakku yang kedua, 6 tahun) berpuasa. Syukur, dia telah berjaya berpuasa penuh 3 hari tahun ini berbanding tahun lepas hanya berpuasa separuh hari.

Kakaknya, Eisya baru dapat sehari sebab hari keduanya dah demam. Jadi Eisya tak dapat berpuasa sebab kena makan ubat. Kesian Eisya. Tahun lepas Eisya berjaya berpuasa penuh sebulan.

Gara-gara semangat Sarah ingin berpuasa, aku cuba memenuhi permintaannya. Aku bertanya dengannya, "Sarah nak makan apa hari ini?''. Hari pertama ,dia inginkan aku membuat jemput-jemput pisang untuknya. Bukan Sarah seorang, Eisya dan Amniy turut gemarkan jemput-jemput pisang.

Disebabkan ada lagi pisang yang masak, hari kedua pun Sarah masih meminta aku menggorengkan jemput-jemput pisang. Ini bermakna 2 hari berturut-turut kuih utama kami ialah jemput-jemput pisang di samping kuih-kuih yang dibeli di bazar Ramadhan.

Hari ini, kami membuat keputusan untuk tidak pergi ke bazar Ramadhan untuk membeli kuih-muih. Tambahan pula hari hujan. Semua menu dimasak sendiri. Sarah meminta aku membuat jemput-jemput/cucur ikan bilis. Seronok aku tengok dia berbuka. Puas rasanya bila anak-anak dan suami menikmati hidangan yang disediakan sendiri. Walaupun menunya simple nasi putih, kari buncis bersama telur dan ayam goreng bersalut tepung tapi yang pasti ianya memenuhi selera.

Ada kalanya tak perlu bersusah payah memasak hidangan yang 'complicated' dengan hanya berkuihkan sepinggan jemput-jemput/cucur, tetapi tetap berbuka dengan selera.

Jadinya sudah 3 hari kami berbuka bersama 'jemput-jemput'.

Alahai...gambar tidak disediakan pulak...lupa nak ambil.....hmmm.

Saturday, August 22, 2009

Adab-adab Berpuasa dan Kelebihan Ramadhan

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ;

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya,

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia,

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih,

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei]

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan.

Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim]

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt.

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy].

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’.

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim].

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah].

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei].

sumber:http://halaqah.net

Monday, August 17, 2009

Chiffon Idaman Sutera Yang Bukan Lagi Idaman (Rasa Tertipu)



Pada petang 27/7/2009 lalu, disebabkan aku ingin mencari baju raya berwarna oren dari jenis kain chiffon (tema raya tahun ni), aku pun mengajak suami dan anak-anak pergi ke butik Idaman Sutera di Megoplex, Ipoh. Sememangnya kalau nak cari baju jenis chiffon aku gemar ke butik ini kerana kebanyakan fabrik chiffonnya adalah gred A.

Setelah mencuba beberapa helai baju, aku pun berkenan dengan sepasang baju kurung chiffon berlinen penuh. Di samping itu aku turut membeli sepasang baju kurung oren untuk anakku, Sarah dan 2 helai kain pelikat.

Setelah sampai di rumah, aku hanya menggantungkan baju kurung orenku pada penyangkut almari pakaianku. Pada keesokan harinya baru aku melihat semula dan ingin mencuba baju kurung tersebut. Aku terkejut dan rasa 'frust' sebab terdapat keretasan pada bahagian jahitan baju tersebut.Disebabkan ianya kain chiffon keretasannya antara nampak atau tak nampak. Tambahan pula kain linennya warna yang seakan-akan sama. Takkan nak pakai baju yag dah retas??? Boleh perasan bila dalam cahaya yang betul-betul terang.

Aku pun terus menelefon butik tersebut memberitahu tentang kerosakan yang berlaku untuk menukar/menggantikan baju yang lain. Jurujual yang dikenali sebagai Linda mengatakan baju tersebut boleh dipulangkan dalam masa 3 hari sahaja. Jadi aku pun menulis tarikh 27/7/09 di atas tag harga yang aku belum buka lagi, supaya mereka akan percaya bahawa aku memulangkan baju tersebut masih dalam tempohnya.(Tempoh 3 hari).

Jadi pada 29/9/09,genap hari ketiga aku memulangkan baju tersebut. Aku mencuba beberapa baju chiffon oren yang lain termasuklah kain sutera. Namun hampa, tiada baju oren dan kurung sutera yang berkenan di hati dan memenuhi citarasaku. Kalau tak terlampau besar, muat tapi tak selesa. Ada 5/6 pasang baju telah ku cuba tapi tak memenuhi selera hati.

Lantas, aku berinteraksi dengan tuan punya butik yang dikenali dengan nama Kak Zan supaya memulangkan semula duitku kerana tidak ada baju oren yang berkenan di hati.Beliau tidak bersetuju untuk memulangkan duitku. Alasan beliau, mereka tidak boleh memulangkan duit, tetapi boleh menukarkan duit tersebut dengan membeli pakaian lain yang ada dijual di situ. Takkan aku nak beli pakaian yang aku tak rancang nak beli semata-mata nak habiskan wang sebanyak RM167.00 tu. Sudah tentu aku ingin membeli barang yang aku rancang untuk dibeli!

Aku pun meminta Kak Zan tuan punya butik tersebut untuk mengeluarkan resit sebagai bukti bahawa aku akan menukarkan baju kurung oren di satu hari kelak. Tujuannya supaya kakitangannya akan tahu mengenai perkara yang telah berlaku.

Ye la, ini bukan salah aku, salah tailor yang menjahit tu.Tetapi kenapa pulak aku yang menerima akibatnya.Nak jual baju tengok-tengok la dulu kualiti baju tu. Ok ke tak ok ke...Akhirnya, aku meminta Kak Zan menelefon 'supplier' baju kurung oren tu sama ada masih ada stok ataupun tidak. Malangnya, baju tersebut sudah tiada stok.

Pada 13/8/09, Linda jurual di butik Idaman Sutera tu menelefon aku, "Kak baju oren akak tu dah sampai." Aku menegaskan kepadanya, 'Itu baju yang sama ke atau baju yang lain?' Linda dengan penuh yakin mengatakan, "baju corak yang sama, saiz yang sama dan dia ganti yang lain." Aku masih ragu-ragu, 'Linda , check baju tu elok-elok, nanti penat akak datang sana, baju tu ada yang retas lagi,'". Aku menegaskan kepadanya.

Pada pagi Ahad 16/8/09, sebelum ke Idaman Sutera aku menelefon Linda lagi, "Linda baju tu betul-betul ok ke...tak ada apa-apa yang rosak ye?" "Ok kak" dia menjawab. Aku pun yakin dengan jawapannya.

Petang Ahad itu pun aku meminta suamiku menemaniku untuk ke sana mengambil baju tersebut. Setibanya di sana, Linda dah balik.Aku berurusan dengan jurujual yang lain. Sebelum aku mengambil baju tersebut, aku masih bertanya kepada adik jurujual yang ketika aku datang pada hari pertama tu memang dia pun ada."Hari tu kata dah tak ada stok, ini ada stok pulak? Adik tu menjawab, "tak tau lah, dia ganti je." Aku masih berfikir dan terdetik dalam hati, "Kemungkinan tailor tu jahit baju yang lain kot."Aku mengambil baju tersebut dengan yakin sebab mereka mengatakan baju tersebut diganti dengan yang baru. Tetapi dalam perjalanan untuk turun ke Tingkat 1, hati ini masih sangsi sambil membelek-belek baju yang tersimpan dalam plastik tersebut.

Tup-tup bila dibelek-belek, aku nampak tag harga masih ada tulisan tanganku '27/7/09'(tarikh baju tersebut dibeli). Masih juga ada keretasan di jahitan baju tersebut. Dalam hati..."ini masih baju yang sama"..."Tapi kenapa mereka kata telah diganti dengan yang baru." Aku rasa diperbodohkan. Huh! Masa tu hatiku terus mendidih! Aku telah ditipu! Aku terus naik semula ke butik tersebut dan meminta jurujual tersebut memulangkan duitku sebanyak RM167.00. Aku menggigil menahan marah! Aku telah ditipu! Aku telah ditipu."Kenapa mesti mereka menipu aku???!!! Aku tak redha betul dibuat seperti ini. Hatiku sakit yang teramat. Terpaksa datang 2-3 kali disebabkan bukan salah sendiri. Lalu macam-macam yang aku telah perkatakan supaya mereka sedar bahawa mereka ini telah menjadi 'PENIPU' dan tak pandai menjaga hati pelanggan. Kalau belum ada stok katakan tiada stok, jangan la sampai menipu pelanggan. Jika ini yang berlaku, lebih baik pulangkan sahaja duitku pada hari aku memulangkan baju tersebut kan senang! Ini tidak! Aku terasa dianiya! Buang duit minyak kereta! Lebih utama, buang masa aku dan suamiku!

Kali ini aku telah bertekad tidak akan datang lagi ke butik Idaman Sutera yang sememangnya aku cop 'penipu dan tidak pandai jaga hati pelanggan'. Mereka tidak akan merasa sesen pun duitku selepas ini.

Jadi kepada sesiapa yang ingin membeli pakaian /barangan, ambillah iktibar dari ceritaku di atas. Terutamanya kepada kaum wanita yang rajin 'shopping' di sana. Khusus juga kepada pembeli baju kurung chiffon, jangan sampai terbeli baju kurung seperti dalam gambar di atas. (Saiz M)....Sila periksa dengan lebih terperinci untuk memenuhi citarasa dan kepuasan hati anda sendiri.

Kisah yang ditulis bukan tujuan untuk menghasut tetapi adalah kisah benar yang aku alami sendiri beberapa hari yang lalu.

Thursday, August 13, 2009

Satu Qiblat Yang Sama - Rabbani



Ya Sallim Sallimna Sallim Sallim Dinana

Ada yang hitam, ada yang putih..Zahirnya Dia menciptakan kita berbeza
Namun batinnya kita dikurnia akal fikiran yang lengkap sempurna

Walau berbeza kasta budaya, hanya amalan pada-Nya yang utama
Kita mewarisi Al-Quran suci sebagai panduan untuk hidup sejahtera

Seringkali iman akan diuji bak layar dihembus laut gelora
Dalam mengejar kehidupan di sana, jangan alpa meredah kabus dunia

Walau pandangan jauh berbeza, tak bermakna ada salah ada benar
Pada akhirnya kita semua sujud ke arah satu qiblat yang sama

Semulia insan adalah yang menghampiri-Nya
Moga ditempatkan dengan yang bertaqwa

Tak mungkin manusia yang punya nafsu bisa terlari walau secebis dosa
Apa yang mampu kejar pahala, biarlah yang Esa menghitungkannya

Buang yang keruh, ambil yang jernih tak guna merintih menyesal bersedih
Khalifah bumi semua bersaudara untuk menghambakan diri kepada-Nya

Kadangkala kesabaran dicabar tiang utuh teguh bisa kan runtuh
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama saudara

Walau pandangan jauh berbeza, tak bermakna ada salah ada benar
Pada akhirnya kita semua sujud ke arah satu qiblat yang sama

Semulia insan adalah yang menghampiri-Nya
Moga ditempatkan dengan yang bertaqwa


Pemergian Allahyarham Ustaz Asri (Vokalis Kumpulan Rabbani)
*** Sesungguhnya kami adalah bagi Allah dan kami sekalian akan kembali kepada-Nya***

Hari ini aku dikejutkan dengan pemergian Ustaz Asri. Sebak dan pilu hati ini bila Zool (suamiku) memberi tahu berita tersebut. Rasa macam tak percaya. Bila buka email, kawanku Suhaila Zainuddin yang bekerja di Astro juga turut mengkhabarkan berita yang sama.

Aku sebagai peminat lagu-lagu nasyidnya pun turut bersedih...apatah lagi orang-orang yang paling hampir dengannya seperti isteri, anak-anak,ahli keluarganya serta sahabat handainya. Banyak juga koleksi lagu-lagu nasyidnya yang tersimpan dalam telefon bimbitku.

Tak sangka dalam usianya yang dikira 'agak' muda beliau kembali ke Rahmatullah.Tapi semuanya ketentuan Illahi. Kita sebagai manusia biasa perlu redha dengan ketentuan-Nya. Semoga roh beliau ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Amin.
Al-Fatihah.

Wednesday, August 5, 2009

Pahala Kaum Wanita

Asma' binti Yazid hanya seorang wanita biasa di kalangan kaum Ansar di Madinah. Namun wanita ini dikenali kerana keberanian dan usahanya membela wanita.

Suatu hari Asma' datang bertemu Rasulullah yang sedang berbincang dengan para sahabat. Dengan penuh hormat dan sopan, Asma' memperkenalkan diri, "Saya Asma' binti Yazid, utusan kaum wanita. Saya ingin menyampaikan pertanyaan kaum wanita mengenai kedudukan kami berbanding kaum lelaki.

"Wanita bertugas menjaga rumahtangga dan menanggung kesakitan sepanjang kehamilan dan melahirkan anak. Lelaki pula mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada wanita. Lelaki boleh mengerjakan solat jumaat, menziarahi jiran yang sakit, menghantar jenazah ke kubur, mengerjakan haji dan berperang ke jalan Allah.

"Sementara wanita ditinggalkan untuk menjaga harta dan memelihara anak serta rumahtangga." Pendek kata, Asma' telah meluahkan isi hati yang mewakili pandangan kaum wanita lain yang menganggap bahawa kedudukan mereka lebih rendah berbanding lelaki. Soalnya lagi, "Mengapa kami tidak boleh berpeluang menyertai kaum lelaki dalam mengerjakan kebaikan dan pahala?"

Rasulullah terharu mendengar luahan hati Asma'. Baginda berpaling pada sahabat dan bertanya, "Pernahkah anda semua mendengar tentang wanita yang begitu arif dalam urusan agamanya selain wanita ini?"

Balas seorang sahabat, "Kami tidak sangka ada wanita yang diberikan hidayah oleh Allah setinggi ini." Akhirya Rasulullah menerangkan kepada Asma', "Terangkanlah kepada kaum wanita lain bahawa kebaikan mereka ada pada suami. Hidup saling menyukai dan mengikut perintah. Semua itu menyamai pahala kaum lelaki yang kamu katakan tadi." Jawapan itu sangat menggembirakan Asma dan kaum wanita yang diwakilinya.