Wednesday, May 18, 2011

Ayam Kam Heong


Salam semua,

Dah lama sangat tak 'up-date' blog ni. Resepi ni dah lama nak share tapi tersimpan dlm PC...kalau letak di luar dah lama berhabuk...he3.

Resepi masakan Cina Muslim...ada kelainan dan keenakannya yang tersendiri. Lihat pada namanya...'Ayam Kam Heong'. Jika dah jemu dengan masakan Melayu atau kampung...jom cuba resepi ni.

Bahan-bahan:

500 gm ayam ( digoreng dengan sedikit tepung)
60 gm tepung gandum
4 tangkai cili padi (diketuk)
2 tangkai cili merah (dihiris)
2 labu bawang besar (dicincang)
4 ulas bawang putih (dicincang)
2 sudu makan rempah kari
2 sudu makan cili sos cili
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan kicap
2 sudu makan sos tiram
5 helai daun kari
Garam dan gula secukup rasa

Cara Memasak:

Gaulkan ayam bersama tepung dan kemudian goreng hingga masak. Ketepikan.

Panaskan minyak dan tumis bawang besar dan putih hingga naik baunya.

Kemudian masukkan serbuk rempah kari bersama sos cili, sos tomato, daun kari, kicap dan juga sos tiram.. Kacau rata dan biarkan hingga pekat.

Masukkan ayam bersama cili merah dan juga cili padi. Gaulkan ayam rata.

Masukkan garam, gula dan angkat.

Hidangkan bersama nasi putih.

Selamat mencuba!

Thursday, January 20, 2011

Ayam Kalio



Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam
1 btg serai diketuk
3 keping daun purut
2 keping asam gelugur
2 sudu cili giling
1 cawan santan pekat

Bahan2 untuk kisar
1/2 cm halia
4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 cm kunyit dikisar

Caranya:

Satukan semua bahan -bahan yang dikisar dengan santan, serai dan cili giling ke dalam kuali.

Masukkan ayam yang telah dipotong.

Kemudian masakkan atas api (jangan sampai pecah minyak).

Masukkan daun limau purut.

Bila santan sudah separuh masak, masukkan asam keping, garam dan gula. Biarkan agak pekat.

p/s: Kepada yang suka berkuah bolehlah tambah santan lagi. Sesuai juga dimakan dengan nasi impit.

Thursday, January 6, 2011

Resepi Pilihan : Kerabu Sotong




1/2 kg sotong (potong bulat)
1 labu bawang besar - dihiris nipis
2 biji tomato - dipotong kecil
2 batang serai - dipotong halus
2 biji cili merah - dicincang kasar
5 biji cili api - dihiris nipis
4 sudu besar sos ikan
3 biji limau kasturi - diperah
1 kuntum bunga kantan- dihiris halus
garam dan gula secukup rasa

Caranya:

Sotong direbus terlebih dahulu (lebih kurang dalam 5 minit). Kemudian toskan.

Campurkan kesemua bahan-bahan di atas.

Setelah siap, bolehlah dihidangkan.

p/s: Terima kasih kepada Kak Kamsiah (rakan blogger) yang sudi berkongsi resepi.
Memang menyelerakan.

Tuesday, December 14, 2010

Roti Goreng Bersalut Oat



Bangun pagi-pagi tak ada idea nak buat breakfast apa. Jenguk dapur nampak stok roti banyak lagi. Aku teringat koleksi resepi dalam Majalah Keluarga. Biasa buat roti goreng dengan telur je....Kali ni cuba salut dengan oat...sedap ke? Nak ke anak-anak aku ni makan? Tak pe...cuba je lah. Hmmm...sedap juga...licinnn....dan lebih mengenyangkan sebab ada oat.

Sesiapa yang nak cuba, bolehlah mencuba. Simple sahaja.

Bahan-bahan:

8 keping roti - dipotong 4
2 butir telur
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
1/2 sudu kecil garam
90 gm oat (agak-agak je)
sedikit minyak untuk menggoreng

Cara:

Pukul telur dan masukkan sedikit garam, lada hitam.

Panaskan minyak dan celupkan kepingan roti dalam campuran telur. Golekkan dalam oat dan kemudian goreng hingga garing.

Hidangkan dengan sos.

Monday, December 13, 2010

Mee Goreng Uncle Muthu




Gara-gara menyaksikan cerita Upin & Upin petang semalam, pagi ni kami breakfast dengan Mee Goreng Uncle Muthu. Apa kaitannya??? Inilah pengaruh cerita Upin & Ipin. Upin & Ipin meng'order' Mee Goreng bersama Telur Mata Kerbau di kedai Uncle Muthu.

Eisya, anakku yang sulung sibuk meminta aku memasak menu tersebut. Akhirnya terhasillah Mee Goreng yang berwarna hitam sebijik macam mee goreng Uncle Muthu bersama Telur Mata Kerbau...he...he...he...(aku yang bukan lagi budak-budak ni pun terpengaruh jugak). Perut lapar punya pasal la ni....

Sunday, December 12, 2010

Pankek Krim Kastard




Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
2 sudu gula
1 sudu kecil baking powder
1/4 sudu kecil garam
1 biji telur
1 cawan susu segar/susu isian sejat
2 sudu minyak sayur/minyak masak

Caranya:

Pukul telur bersama gula.
Masukkan susu, gula, garam, tpg gandum dan baking powder.
Kacau hingga sebati. (Jika perlu tapis terlebih dahulu)
Cedok adunan menggunakan senduk sedang dan masak di atas 'non-stick' pan.
Biarkan hingga masak.
Angkat dan boleh letakkan krim kastard di atasnya.

Krim Kastard:

1 cawan susu segar/susu sejat
2 sudu besar gula
1 sudu tepung kastard

***Kacau di atas api sehingga mendidih.

Saturday, November 27, 2010

Kepentingan Solat



Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: "Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain".
(Riwayat at-Tirmidzi)

Huraian :

* Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.

* Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.

* Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar): "Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari".

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia