Wednesday, March 31, 2010

Hari Jadi Amniy Yang Ke-2





Amniy telah pun memcecah umur 2 tahun pada 28 Mac 2010 yang lalu. Keletahnya melucukan dan suka mengajuk orang bercakap.Hobinya menulis dan membaca seperti gaya orang dewasa. Kadang-kadang, entah apa-apa saja yang dibacanya (bahasa Amniy), kami pun tak faham. Gaya yang lebih.

Pada hari jadinya, aku sempat membuatkan kek coklat untuknya. Dekorasi yang sangat ringkas asalkan kek tersebut boleh dimakan kami sekeluarga dan tak lupa juga jiran-jiran sebelah.

Terima kasih kepada Kika panggilan Amniy kepadanya, yang bermaksud Kak Fika (anak jiran sebelah) kerana memberi hadiah seekor 'bear' kepada Amniy. Fika memang rajin melayan Amniy bermain dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.

Ibu doakan semoga Amniy menjadi anak yang solehah dan berjaya di dunia dan di akhirat.

Thursday, March 25, 2010

Petua Khamis : Elak Sotong Daripada Kecut Setelah Dimasak


Ketika dimasak sotong akan nampak seperti kembang/gebu. Namun, setelah dimasak, sotong akan menjadi kecut. Bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, rendamkan sotong ke dalam air yang bercampur dengan cuka selama 2 minit. Hasilnya, insyaallah sotong yang dimasak akan tampak segar.

Tuesday, February 9, 2010

Sifat ego dan bangga diri


Manusia diciptakan sebagai khalifah di muka bumi ini. Setiap manusia di muka bumi ini berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu, kita hidup di bumi ini perlu saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Ibaratkanlah hidup kita sebagai batu-bata untuk membina rumah. Sekiranya kurang satu batu-batu itu, maka tidak lengkaplah rumah yang ingin dibina.

Sekiranya seseorang manusia diuji dengan ilmu dan kepandaian, janganlah menganggap dirinya hebat, kita perlulah melihat ke bawah juga. Kadangkala kehebatan dan kepandaian boleh merosakkan iman seseorang. Akibat sifat bangga, takbur dan ego pada diri sendiri, boleh merosakkan keimanan seseorang. Nau`zubillahi min zalik !!.

Sekiranya kita amati, Islam menyuruh kita mempelajari ilmu akhlak terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu-ilmu yang lain. Hal ini amat praktikal, iaitu terjadi apabila seseorang itu, telah menguasai ilmu akhlak, maka dengan mudah baginya menguasai diri dan memandu kehidupannya. Maka hendaklah kita nilai diri kita terlebih dahulu, adakah kita telah menguasai ilmu akhlak?? Atau masih lagi tidak mengetahui asal usul ilmu tersebut.

Apalah yang ada pada ilmu sekiranya tidak disertai dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt ta`ala. Sikap ego dan bangga diri akan lahir apabila melihat diri sendiri hebat dari orang lain. Kehebatan diri jauh lebih baik dari orang lain. Melihat kekurangan yang ada pada diri orang lain sambil mentertawakan orang itu. Begitu juga melihat penderitaan dan kesusahan yang dialami orang lain.

Oleh itu cara terbaik mengelakkan diri daripada sifat ego dan membangga diri ialah dengan selalu mendekatkan diri kepada Allah ta`ala. Beristighfar dengan memikirkan kesilapan yang dilakukan dan bertaubat dengan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. Sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Bantulah insan yang memerlukan bantuan dengan berlapang dada, tanpa disuruh dan tanpa diumumkan. Itu lebih baik di sisi Tuhan rabbul i`zzah.

Sumber: http://blogs.iium.edu.my

Wednesday, January 13, 2010

Tumis Lala Ah...Sedap


Hmmm...ini resepi kegemaran keluargaku...tapi lama tak pekena! Sejak Zool tak boleh makan makanan (lauk) yang berbisa (lepas pembedahan paru-paru hari tu). Biasanya seminggu sekali mesti pekena Tumis Lala ni. Terutamanya Eisya, dia memang cukup meminati hidangan ini. Tapi kalau aku memasak lala ni nanti pasti Zool tengok je kami makan. Hmmm...disebabkan tak sampai hati, aku membuat keputusan tak perlu membelinya sehinggalah zool betul-betul sembuh. Kalau aku dan Eisya nak makan, kami makan sahaja di kedai.

Resepi:

Lala (dalam 2 kg)
Bawang besar dipotong
Kunyit hidup (agak2 je) diketuk
Serai (2 batang - diketuk)
Daun kunyit ( 1 helai)
Cili Boh ( ikut suka)

Caranya:

Tumiskan bawang besar, kunyit hidup, serai dan cili boh. Bila dah agak kering/kekuningan baru masukkan lala tadi. Gaulkan supaya lala dan bahan tumis tadi serata. Kemudian masukkan daun kunyit. Tambahkan garam dan sedikit gula mengikut citarasa.

Hidangkan dengan nasi panas...hmmm....enak. Tak percaya cubalah!

Thursday, December 3, 2009

Nasi Ayam Ala Wardah



Hmm...dah lamanya tak 'berblog'. Sibuk sangat dengan rutin harian menyebabkan aku meletakkan 'blogku' di tempat yang terakhir. Usahkan nak menulis, nak 'on' pc pun tak sempat.

Ye la masa tu kan Zool masuk wad di hospital Ipoh (5 hari) dan selepas itu dia dimasukkan ke IJN (13 hari). Aku dan anak-anak pula tinggal di Keramat rumah anak saudara disebabkan aku ingin menjaga Zool di IJN. Bila dah balik rumah, macam-macam urusan yang perlu diselesaikan secara solo. Semuanya berlalu dengan begitu pantas. Namun, Allah jua yang Maha Mengetahui hati dan perasaan ini. Bersyukur sangat kerana semua urusan dipermudahkan dan aku memiliki ahli keluarga yang sangat mengambil berat dan begitu 'supportive' baik dari sebelah keluargaku mahupun sebelah Zool. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik kalian semua.

Hari ini tiba-tiba mood untuk memasak datang kembali. 'Check' stok di dalam peti ais pun tak banyak sayur-sayuran yang ada. Lauk mentah ada ayam dan daging je. Aku pun membuat keputusan untuk membuat Nasi Ayam...lebih mudah dan cepat. Memandangkan hari ini, aku sedang membuat operasi mengemas rumah...gara-gara ditinggalkan hampir 3 minggu.

Akhirnya, siaplah Nasi Ayam Ala Wardah. Resepi asal nasi ayam tersebut minta dari Abang Teh (entah berapa tahun yang lalu)...tapi ayam dan sambalnya diambil dari internet dan 'dimodify' sendiri....hmm...asalkan famili aku suka makan.

Resepi Nasi Ayam Ala Wardah:

Bahan2 Nasi Ayam:
Stok ayam
Bawang merah, serai (1 btg), dan halia ditumis dgn mentega (buttercup)

Ayam Goreng:

Ayam yang telah dipotong dan dibersihkan diperap dengan:
tepung gandum, halia dan bwg putih (ditumbuk), serbuk kunyit, garam, sedikit cili boh,sedikit susu lemak manis (utk melembutkan lagi ayam)

###namun jika anda tidak menggemari susu lemak manis dicampurkan, ianya tidak perlu letak pun boleh juga.

***Ayam Goreng boleh juga digantikan dengan Ayam Panggang jika anda tidak suka berlaukkan Ayam Goreng. Semuanya terpulang kepada individu tersebut.

Sambal:
Cili Sos
Tomato
Kicap Manis
Sos Tiram
(semua dicampurkan utk mendapatkan rasa yg sebati)

Wednesday, October 14, 2009

Kebaikan/Kelebihan Minum Air Suam


Fakta ini sangat baik kepada sesiapa yang mementingkan kesihatan . Ianya bukanlah semata-mata berkenaan air suam, tetapi juga berkenaan serangan jantung. Masyarakat Cina dan Jepun minum teh panas ketika bersarapan, bukannya minum air sejuk. Mungkin inilah masanya, kita perlu mengubah tabiat minum semasa makan.

Kepada sesiapa yang gemar minum air sejuk, fakta ini sangat bermakna buat anda. Memanglah sesuatu yang nikmat untuk minum segelas air sejuk selepas makan. Walaubagaimanapun, air sejuk akan melikatkan minyak yang kita makan bersama hidangan. Sudah tentu ia melambatkan lagi proses pencernaan. Sekali gumpalan minyak ini bertindakbalas dengan asid di dalam perut, ia akan memecah dan diserap oleh enzim intestine lebih cepat berbanding makanan pejal. Ia akan selari dengan enzim intestine. Dalam masa terdekat, ia berpotensi bertukar menjadi lemak dan mendorong kepada kanser. Jadi, adalah sangat penting untuk minum sup panas atau air suam selepas menikmati sesuatu makanan.

Petanda Lazim Serangan Jantung
Anda seharusnya mengambil tahu yang petanda serangan jantung bukan sahaja pedih pada sebelah kiri dada. Awasi jika terasa sakit yang menyesakkan pada dada kiri. Mungkin anda belum pernah merasa sakit dada semasa terkena serangan jantung. Muntah-muntah dan berpeluh berlebihan juga antara tanda-tanda lazim. 60% pesakit yang terkena serangan jantung adalah ketika sedang tidur dan tidak boleh bangun dari tidur. Sakit pada dada boleh menyebabkan tidak sedarkan diri. Berhati-hati dan berjaga-jagalah sentiasa. Lebih banyak yang anda ketahui berkenaan serangan jantung, maka lebih peluang untuk anda terselamat.

Kata pakar kardiologi (jantung), jika seseorang telah membaca fakta ini, sebarkanlah ia kepada 10 orang lain yang dikenali, anda mungkin tidak mampu menyembuhkan pesakit, tetapi anda sebenarnya berjaya menyelamatkan seseorang dari menjadi pesakit.

Wednesday, October 7, 2009

Khasiat Susu Ibu

Kelahiran bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.

Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Allah telah berpesan dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan mereka.

Susu ibu menyelamatkan nyawa

Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.

Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.

Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.

Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.

Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Mengapa tidak menyusu?

Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.

Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

Khasiat dan kebaikan susu ibu

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Susu ibu menguntungkan wanita

Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.

Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.

Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.

Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.

Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.

Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.